IPOH, 31 Julai (Bernama) -- Malaysia menjadi tuan rumah bagi Bengkel Antarabangsa Advance Statistical Data and Metadata Exchange (SDMX) yang berlangsung selama empat hari di Institut Latihan Statistik Malaysia, Sungkai.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan memaklumkan bengkel itu merupakan kerjasama dengan Bahagian Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSD), Bank Pembangunan Asia (ADB) serta Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bermula 28 Julai dan berakhir hari ini.
“Bengkel berimpak tinggi ini mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam memajukan piawaian data global selain membangunkan ekosistem berdaya tahan dipacu data yang menyokong pembangunan terangkum.
“Ia menandakan pencapaian strategik dalam pembangunan kapasiti dan memperkasa institusi untuk melaksanakan tadbir urus berstruktur, saling boleh kendali serta metadata yang mengikut piawaian,” menurut kenyataan berkenaan.
Bengkel itu menghimpunkan lebih daripada 30 peserta termasuk pakar statistik, profesional data dan pegawai teknologi maklumat dari Organisasi Statistik Nasional (NSO) Bhutan, Brunei, India, Indonesia dan Malaysia yang dirasmikan oleh Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
DOSM memaklumkan bengkel itu juga menyumbang kepada usaha berterusan bagi memodenkan ekosistem statistik.
SDMX disokong oleh peneraju organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia, OECD dan Eurostat yang memacu pertukaran selain penyelarasan data secara lancar.
"Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap statistik yang tepat pada masanya, berkualiti tinggi dan boleh dibandingkan seiring dengan agenda global seperti Matlamat Pembangunan Mampan.
“Dengan menggalakkan dialog dan perkongsian pengetahuan, bengkel ini menyokong pemodenan sistem statistik dan memperkukuh struktur tadbir urus untuk pembangunan negara selain kerjasama serantau.
"Melalui kerjasama secara kolektif, NSO dapat mempelajari kejayaan serta cabaran antara satu sama lain, sekali gus mempercepat kemajuan ke arah sistem statistik yang lebih harmonis dan bersepadu,” menurut kenyataan berkenaan.
Sementara itu Mohd Uzir berkata pihaknya menekankan nilai perubahan SDMX dalam mempertingkatkan kesepaduan institusi dan kepercayaan awam.
“Bengkel ini melengkapkan komuniti statistik bagi menerajui SDMX sebagai asas strategik, bukan sahaja untuk saling boleh kendali secara teknikal tetapi juga untuk meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan impak statistik rasmi.
“Dengan menerima SDMX dan memperkasa literasi statistik, kita memastikan statistik rasmi terus menjadi asas yang kukuh bagi pembuatan keputusan berasaskan bukti,” katanya.
Beliau juga menekankan penyepaduan piawaian data berstruktur dengan rangka kerja seperti Generic Statistical Business Process Model (GSBPM) penting bagi memperkukuh kesepaduan, ketelusan dan penggubalan dasar berasaskan bukti.
“Falsafah ini menjadi asas kepada hala tuju strategik DOSM yang mengiktiraf data sebagai aset negara yang penting untuk menganalisis ekonomi, inovasi dan tadbir urus yang berwibawa.
“Dengan statistik yang berkualiti, kita memiliki wahana yang ampuh untuk membuat keputusan yang tepat dalam memastikan tiada sesiapa yang tercicir,” katanya.
DOSM turut memaklumkan pihaknya sedang membuat persiapan untuk Banci Ekonomi 2026. Pelaksanaan banci secara komprehensif akan menghasilkan data yang terperinci dan bernilai tinggi bagi memperkukuh daya tahan ekonomi dan panduan pembentukan dasar di semua peringkat pentadbiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial