SEREMBAN, 22 Jun (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan warga tempatan cedera parah selepas ditetak dengan parang dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Bandar Baru Nilai, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata siasatan awal mendapati lelaki itu yang berusia 30-an turut dipukul dengan kayu oleh beberapa individu tidak dikenali dalam kejadian 2.30 pagi tadi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati insiden berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan gengsterisme atau dendam sebaliknya dipercayai akibat perbalahan spontan ketika semua mereka berada dalam keadaan mabuk sehingga membawa kepada salah faham dan seterusnya pergaduhan fizikal.
"Bagaimanapun mangsa yang mengalami kecederaan di kepala serta kaki kini dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Malik berkata polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada 6.08 pagi tadi mengenai mangsa yang telah dimasukkan ke Zon Merah, Jabatan Kecemasan hospital itu setelah dibawa dalam keadaan berlumuran darah.
"Polis sedang giat mengenal pasti suspek terlibat serta lokasi sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 148, Seksyen 326 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial