SUKAN

Pickleball Berpotensi Jadi Sukan Pertunjukan Di SUKMA Selangor 2026

19/06/2025 05:38 PM

SHAH ALAM, 19 Jun (Bernama) -- Sukan pickleball berkemungkinan disenaraikan sebagai sukan pertunjukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, meskipun tidak tersenarai dalam sembilan sukan tambahan yang dicadangkan setakat ini.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata sukan yang menggabungkan elemen badminton, tenis dan ping pong itu masih belum mendapat pendedahan meluas di semua negeri.

Menurutnya setakat ini hanya beberapa negeri seperti Selangor, Sarawak, Perak dan Pulau Pinang mempunyai kemudahan infrastruktur serta penyertaan yang lebih aktif dalam sukan tersebut.

"Bagi negeri lain, kita belum pasti sama ada mereka mempunyai kemudahan atau pendedahan mencukupi," katanya pada sesi jalinan media bersama Sekretariat SUKMA dan Para SUKMA 2026 di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada November lepas menyatakan hasrat untuk mempertandingkan sukan pickleball dalam edisi SUKMA kali ini selaras dengan perkembangan pesat sukan itu di peringkat nasional.

Selain pickleball, Mohd Najwan turut memaklumkan bahawa sukan catur cina (xiangqi) juga sedang dipertimbangkan sebagai salah satu sukan pertunjukan yang bakal diperkenalkan dalam temasya berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA 2026 berkata pemilihan lima daripada sembilan sukan tambahan yang dicadangkan akan dimuktamadkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026, yang bakal dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, hujung bulan depan.

Katanya pemilihan sukan berkenaan akan dibuat secara adil dengan mengambil kira kemampuan semua negeri untuk menghantar penyertaan.

Katanya antara sembilan jenis sukan dipertimbangkan untuk disenaraikan sebagai lima sukan tambahan pada SUKMA 2026 adalah e-sukan, tinju, catur, kriket, softbol, kabaddi dan silambam.

Mengulas mengenai persiapan temasya SUKMA 2026, Mohd Najwan memaklumkan bahawa setakat ini tahap persediaan telah mencapai kira-kira 40 peratus dengan fokus utama terarah kepada usaha menaik taraf kemudahan dan venue sedia ada.

Antara venue yang terlibat dalam proses naik taraf termasuklah Pusat Akuatik Darul Ehsan di Shah Alam, Lapang Sasar Subang serta Stadium Hoki Pandamaran di Klang.

Katanya keseluruhan kos penganjuran SUKMA 2026 dianggarkan berjumlah RM200 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan