GEORGE TOWN, 12 Jun (Bernama) -- Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Keselamatan Persempadanan dan Pendataan, Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim (BKPM) Putrajaya, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli dilantik sebagai Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Kapten Maritim Razali Kasim yang bertukar ke ibu pejabat APMM di Putrajaya sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Protokol dan Kerohanian.
Menurut kenyataan APMM Pulau Pinang, Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah hadir menyaksikan majlis serah terima tugas antara Muhammad Suffi dengan Razali yang diadakan di sini, hari ini.
Mohd Rosli dalam ucapannya berharap kepimpinan baharu dapat memperkukuh pencapaian sedia ada menerusi pendekatan yang lebih strategik dan inklusif dengan penglibatan komuniti maritim, badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan lain bagi meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan kesejahteraan komuniti maritim.
“Pelantikan baharu ini jelas bukan sekadar pertukaran pentadbiran, sebaliknya satu langkah strategik untuk terus memperkukuh keselamatan perairan negara serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap kecekapan Maritim Malaysia,” katanya.
Mohd Rosli turut menekankan pelaksanaan Teras Tujuh sebagai landasan utama memperkasakan organisasi merangkumi pemerkasaan struktur operasi, pembangunan modal insan, penglibatan komuniti dan peningkatan imej profesionalisme Maritim Malaysia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu atas dedikasi melakar kejayaan, termasuk penganjuran sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia dan pelaksanaan Operasi Bersepadu bersama agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial