AM

Hilang Penglihatan 38 Tahun Lepas, Pesara Guru Bersyukur Dapat Tunai Haji

30/05/2025 01:27 PM

Oleh Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 30 Mei (Bernama) -- Seorang jemaah wanita yang kehilangan penglihatan sejak 38 tahun lepas menzahirkan kesyukuran tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dipilih oleh-Nya untuk bersama jutaan jemaah lain berhimpun di Tanah Suci bagi menunaikan tuntutan rukun Islam kelima.

Zawiah Mohamad, 62, bekas guru Matematik kehilangan penglihatan kekal pada usia 24 tahun akibat penyakit glaukoma yang menyerangnya pada usia 16 tahun. 

“Tak terucap dengan kata-kata betapa kasihnya Allah kepada saya. Walaupun diuji dengan kehilangan penglihatan, saya reda kerana itu semua pinjaman daripada-Nya. Saya juga bersyukur masih dipanjangkan usia dan diberi peluang menjejakkan kaki ke Masjidil Haram sebagai duyufurrahman, insya-Allah akan ke Masyair beberapa hari lagi,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengimbas kembali detik penuh ujian apabila doktor menasihatinya supaya menggugurkan kandungan bagi menjalani pembedahan mata dengan segera, Zawiah berkata dia nekad untuk mempertahankan kandungan dan akhirnya melahirkan anak lelaki sulung pada 6 Mei 1988.

“Saya berkahwin pada Disember 1986 dan mengetahui diri sedang mengandung pada Ogos 1987, tetapi pada akhir September saya diserang demam panas yang disusuli pening kepala dan mata terasa seolah-olah dicucuk jarum, langsung tidak mampu dibuka. Pagi 26 Sept, saya rasa sakit itu hilang tetapi bila saya celik mata, semuanya gelap,” katanya dengan suara yang tersekat.

Zawiah yang menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama, suami Mohd Isa Yakob, 62, serta dua anak perempuan merka, Nor Salehah Mohd Isa, 36, dan Faizah Suaida Mohd Isa, 25, masih berharap penglihatannya kembali pulih.

“Sebenarnya, saya sentiasa berharap agar dapat melihat semula dan ia bukan sesuatu yang mustahil kerana segalanya atas kehendak Allah…tapi jika keadaan begini (tidak dapat melihat) adalah yang terbaik, saya reda," katanya.

Sementara itu, anak keduanya Nor Salehah sanggup menangguhkan pengajian bagi kenaikan gred sebagai jururawat demi menjadi pengiring kepada ibunya dalam menunaikan ibadah haji.

Sepanjang berada di Makkah, Nor Salehah bukan sahaja bertanggungjawab sebagai pengiring tetapi juga memastikan setiap tuntutan ibadah ibunya dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Mak memang tidak pernah melihat wajah keempat-empat anaknya tetapi dia tidak pernah gagal dalam  membesarkan kami. Jadi sebagai membalas jasanya, saya hanya memohon dikurniakan kekuatan untuk membawa mak menyempurnakan ibadah hajinya dan semoga diterima Allah," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan