AM

Menteri Kabinet Zahir Penghargaan Terhadap Sumbangan Pekerja Kepada Pembangunan Negara

01/05/2025 10:16 AM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Bersempena sambutan Hari Pekerja hari ini, beberapa Menteri Kabinet menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan para pekerja dalam semua sektor yang menjadi pemangkin kepada pembangunan negara menerusi hantaran di media sosial masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tema sambutan tahun ini, "Pekerja Kesuma Bangsa", merupakan satu penghormatan yang wajar diberikan kepada seluruh warga pekerja yang setiap hari mencurahkan tenaga dan keringat demi kemajuan negara.

Beliau berkata kerajaan sentiasa komited memperjuangkan hak serta kebajikan pekerja, di samping memperkukuh ekosistem pekerjaan yang lebih adil, progresif dan berdaya saing.

"Kita mahu setiap titik peluh itu dibalas dengan peluang, pengiktirafan dan keadilan yang sewajarnya," katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi hantaran di Facebook.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa, peranan para pekerja menjadi semakin penting dalam menyumbang kepada proses membuat keputusan yang adil dan inklusif.

Menurut Fadillah, sumbangan, khidmat bakti dan buah fikiran pekerja dari pelbagai sektor menjadi asas penting kepada pembangunan dan kemajuan negara.

"Semoga kita semua dapat memenuhi tuntutan fardhu kifayah melalui usaha dan keikhlasan dalam setiap pekerjaan yang dipertanggungjawabkan kepada kita," kata Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan menghargai jasa serta sumbangan semua pekerja, tanpa mengira sama ada mereka dalam sektor awam atau swasta, yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.

Beliau berkata setiap titik peluh yang dicurahkan bukan sahaja demi menyara keluarga, malah turut menyumbang kepada kemakmuran masyarakat dan kestabilan negara.

"Oleh itu, marilah kita terus memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja, di samping memupuk budaya kerja yang produktif, amanah, dan berintegriti," katanya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata setiap pekerja mempunyai peranan tersendiri dalam membangunkan tanah air tercinta, dan tanpa sumbangan mereka, kemajuan serta kemakmuran yang dikecapi pada hari ini tidak mungkin dapat dinikmat

“Begitu juga dengan anggota yang berkhidmat di bawah Angkatan Tentera Malaysia. Tanpa perwira negara yang sentiasa bersedia berkhidmat pada setiap masa, kita tidak mungkin dapat merasai erti kebebasan dan nikmat keamanan,” katanya.

Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli pula menyifatkan 1 Mei sebagai satu tarikh penting dan simbolik dalam menghargai peranan para pekerja yang menjadi nadi serta tunjang kepada ekonomi negara.

Beliau berkata kerajaan telah memperkenalkan Dasar Gaji Progresif bagi meningkatkan gaji pekerja sektor swasta, termasuk kenaikan gaji penjawat awam serta kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan strategik dalam menjaga kebajikan pekerja dan meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata sambutan Hari Pekerja hari ini menzahirkan pengiktirafan terhadap komitmen dan usaha setiap pekerja yang menjadi nadi serta tunjang pembangunan negara

“Kerajaan MADANI melalui agenda reformasi undang-undang dan institusi akan terus memastikan hak serta kesejahteraan para pekerja sentiasa terpelihara,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pula menekankan bahawa tanpa mengira sektor, jawatan mahupun peranan, setiap usaha dan titik peluh pekerja adalah penggerak kepada kemajuan serta kesejahteraan negara.

"Sama ada yang bekerja di bandar atau di desa, dari sektor awam, swasta, usahawan dan pekerja gig, anda semua adalah wira negara yang sebenar," katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan pula berkata tema “Pekerja Kesuma Bangsa” selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk melahirkan modal insan yang berbudaya tinggi, bernilai murni serta berdaya saing di semua peringkat.

“Sempena Hari Pekerja tahun ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pekerja yang telah menyumbang ke arah kejayaan negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan