FOKUS BERNAMA

Akekchep! Kelah Sungai Tiang Dijaga Orang Asli

11/11/2024 11:37 AM

Ikan kelah liar didambakan oleh kaki pancing kerana dikatakan jenis ikan paling sukar ditangkap, sementara keenakan rasa dan harganya yang mahal pula menjadikan "Raja Sungai” ini buruan ramai.

Selepas berdekad diburu dan ditangkap secara berleluasa, ikan kelah, atau nama saintifiknya Tor tambroides, kini di ambang kepupusan, mendorong pihak berkuasa meletakkan hidupan air tawar ini di bawah perlindungan undang-undang.

Selain itu, usaha memelihara dan memulihara ikan kelah juga dilakukan menerusi beberapa projek santuari, antaranya Santuari Kelah Akekchep Sungai Tiang di sini yang dioperasikan oleh Orang Asli suku Jahai.

Menurut Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Perak dan Kedah Hairulnizam Abd Rahman, lokasi ikan kelah di Sungai Tiang itu ditemukan hasil penyelidikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama penduduk setempat pada 2016.

“TNB melihat kawasan ini berpotensi menjadi pusat pemuliharaan ikan kelah kerana dikawal oleh penduduk dan selamat daripada pencerobohan. 

“Pada 2020, TNB menyerahkan tapak ini kepada kami, dan kami serahkan kepada Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Tiang untuk uruskan melalui Koperasi Orang Asli Sungai Tiang (KOAST) yang ditubuhkan pada tahun sama,” katanya kepada Bernama. 

 

DUA JAM PERJALANAN

Terletak jauh di pedalaman, mereka yang berhajat ke santuari ini perlu menempuh perjalanan menaiki bot sekurang-kurangnya satu jam 45 minit dari Jeti Awam Banding ke Sungai Tiang, bergantung pada paras air Tasik Banding. Lebih cetek paras air, lebih lama masa diambil. 

pic-2

Bersedia menyahut cabaran itu, penulis menyertai Jakoa Perak dan Kedah ke santuari berkenaan, namun tidak menyangka perjalanan menaiki bot tersebut hanyalah permulaan bagi satu kembara yang agak jerih.

Masakan tidak, selepas tiba di jeti Sungai Tiang kami perlu menaiki bot galah, menyusuri sungai itu yang mengambil masa kira-kira sejam sebelum sampai di Akekchep, sekali gus menjawab pertanyaan penulis mengapa santuari ini kurang dikunjungi sekalipun dibuka kepada orang awam sepanjang tahun.

Menurut Hairulnizam, pusat pemuliharaan itu hanya menerima sekitar 200 pengunjung setahun dan Jakoa sedang merangka beberapa langkah bagi meningkatkan jumlah pelawat, dan seterusnya melonjakkan pendapatan Orang Asli di kampung tersebut.

Untuk ke kem Akekchep, kami perlu menapak kira-kira 15 minit, meredah denai. Penat memang terasa, namun keindahan alam semula jadi dengan air sungai yang begitu jernih dan keredupan suasana rimba, memberikan ketenangan yang jarang-jarang dikecapi di hutan konkrit. 

 

AKEKCHEP!

Akekchep sebenarnya istilah bahasa Jahai, iaitu “akek” bermaksud jangan, sementara “chep” pula bermakna tangkap. Justeru, istilah akekchep bererti “jangan tangkap”. 

Bercerita lanjut, Hairulnizam berkata aktiviti perikanan di Sungai Tiang  itu menerima guna sistem tagal yang diperkenalkan di Sabah, dengan aktiviti perikanan dibahagikan kepada empat zon, iaitu hijau, biru, kuning dan merah.

“Di zon hijau, aktiviti memancing dibenarkan sebagai sebahagian aktiviti kehidupan seharian penduduk dan juga pelancong, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

pic-3

“Zon biru pula adalah untuk aktiviti memancing bagi tujuan komersial sport fishing, manakala zon kuning bagi kegiatan penangkapan ikan secara tahunan atau ‘chepkomkom’, iaitu Orang Asli Kampung Sungai Tiang akan berkumpul untuk menangkap ikan hanya sekali dalam setahun,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Hairulnizam berkata zon merah merupakan kawasan yang tidak dibenarkan aktiviti menangkap ikan termasuk memancing, dan di sini terletak dua santuari utama yang dijaga oleh Orang Asli. 

 

HABITAT SEMULA JADI

Kampung Orang Asli Sungai Tiang didiami oleh 118 keluarga, merangkumi 454 orang penduduk dengan kegiatan utama menangkap ikan dan mencari hasil hutan.

Kira-kira 27 peratus daripada mereka menyertai KOAST dan menguruskan santuari itu yang merupakan habitat semula jadi ikan kelah, tengas dan pelbagai lagi.

"Santuari ini adalah antara usaha memulihara ikan asal di Sungai Tiang ini, namun ikan kelah dan tengas dijadikan spesies utama pemuliharaan,” jelas Hairulnizam.

Sementara itu, tok batin kampung berkenaan Hadi bin Mes, 37,  berkata memberi ikan makan adalah antara aktiviti utama yang dapat dilakukan oleh pengunjung.

“Untuk bermain dengan ikan-ikan ini pengunjung boleh naik ke atas platform yang kami bina daripada buluh dan kayu kecil. Dulu, kita main di tepi (tebing) sahaja, tetapi ramai yang tergelincir, jadi berbahaya,” jelasnya.   

 

KELAH “MALU-MALU” 

Bagaimanapun kata Hadi, buat masa ini hanya ikan tengas menunjukkan sifat jinak kepada manusia, sementara kelah pula lebih "malu-malu".

pic-4

“Kalau dah betul-betul jinak, baru ikan kelah datang kepada kita. Akan tetapi, untuk jinakkan mereka makan masa sampai 10 tahun. Sekarang belum (jinak lagi), baru empat ke lima tahun. Kita pun tak kerap turun bagi makan (kepada ikan kelah terbabit),” jelasnya. 

Berkongsi lanjut, Hadi berkata tempoh terbaik untuk pengunjung datang melihat kelah adalah pada musim tengkujuh atau dari September hingga Disember.

“Ketika itu musim mengawan (ikan kelah). Penuh satu sungai (ikan kelah), dari hulu ke sini.

"Di luar masa (mengawan),  memang ada ikan, cuma kita tak nampak. Kalau hujan air akan keruh, tetapi kalau air betul-betul jernih, kita akan nampak pasir di dasar sungai,” ceritanya lagi.

 

CABARAN DAN POTENSI

Ditanya tentang cabaran yang dihadapi di santuari itu, Hairulnizam berkata disebabkan tapak tersebut merupakan sebahagian daripada hutan simpan Taman Negeri Royal Belum, terdapat pelbagai hidupan liar mendiami kawasan berkenaan.

“Memang ada risiko gangguan hidupan liar seperti gajah, memerang dan biawak, namun terkawal. Yang lebih membimbangkan ancaman manusia kerana orang kampung ini hidup bersumberkan hasil hutan dan sungai.

“Kalau mereka asyik memukat ikan, baik untuk dimakan sendiri ataupun dijual, lama-kelamaan ikan kelah ini akan pupus, dan itulah yang kita mahu elak,” jelasnya, menambah ada juga orang luar yang datang melakukan kegiatan menangkap ikan secara haram di kawasan tersebut.

"Oleh kerana itu, kita pun kena beri penerangan kepada semua orang berkenaan apa yang kita buat ini (menjaga santuari) bukan keuntungan peribadi, tetapi untuk semua," tambah beliau. 

pic-5

Sementara itu, Hairulnizam berkata pihaknya serta pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan berganding bahu membantu masyarakat Orang Asli berkenaan membangunkan santuari ikan kelah tersebut sebagai destinasi pelancongan.

“Ada pelbagai aktiviti disediakan seperti memancing, treking dan bermain dengan ikan.

“Buat masa ini kemasukan pelancong dihadkan kerana kekangan infrastruktur seperti tempat menginap, perkhidmatan bot dan lain-lain,” katanya, menambah perancangan jangka panjang termasuk menyediakan infrastruktur yang lengkap di situ.

Menurutnya lagi, pada masa ini pakej yang disediakan hanya meliputi kunjungan sehari kerana tidak ada kemudahan penginapan.

“Kita tidak benarkan bermalam (di dalam khemah) kerana bimbang serangan hidupan liar seperti gajah. Namun begitu, kita ada perancangan untuk membenarkan pengunjung menginap semalam kerana untuk tiba di sini mengambil masa yang lama,” ujarnya, menambah pihaknya merancang menyediakan 10 tapak khemah yang dijangka dapat disiapkan tahun depan.

 

PENDAPATAN ORANG ASLI

Dalam pada itu, Hadi berkata kedatangan pelawat ke kawasan tersebut memberikan pendapatan sampingan kepada Orang Asli di kampung berkenaan.

pic-6

“Kita (KOAST) ada pakej yang meliputi semua perkhidmatan seperti bot, bagi makan ikan, berakit, treking. Semasa treking kita tunjukkan cara kita cari makanan termasuk berburu. 

“Selain aktiviti di santuari ini, ada banyak tarikan lain seperti air terjun, bunga Rafflesia dan Kampung Orang Asli Sungai Klewang, di mana pengunjung boleh melihat kehidupan harian suku Jahai,” katanya.

Setakat ini ada tiga pakej ditawarkan oleh KOAST berharga RM900 hingga RM1,400.

Untuk maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh hubungi Hadi di talian 019-8552132.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan