EKONOMI

Maxis Memeterai MoU Dengan Aduna, Lonjak Inovasi Perniagaan Digital

24/07/2025 04:15 PM

 

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Penyedia telekomunikasi bersepadu (telcoi) Malaysia, Maxis telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Aduna, yang merupakan usaha niaga penting antara sebilangan pengendali telekomunikasi terkemuka dunia.

MOU itu dijangka akan memacu penggunaan rangkaian aplikasi progam antara muka (API) yang diseragamkan bagi mempercepat inovasi digital untuk perniagaan.

Maxis melalui satu kenyataan berkata perkongsian itu akan menyediakan pembangun dan perniagaan dengan akses ke platform global umum API di bawah platform global Aduna. 

Penyelesaian API termaju ini akan membolehkan perniagaan di Malaysia membuka kunci kes penggunaan baharu selain menyampaikan perkhidmatan generasi akan datang dengan memanfaatkan potensi penuh sambungan dan keupayaan rangkaian Maxis.

Kerjasama ini akan membolehkan pembangunan dan penggunaan penyelesaian yang lebih pantas serta selamat bagi penyelesaian yang didorong API, mengurangkan masa ke pasaran untuk ciri-ciri dan perkhidmatan baharu. 

"Tawaran awal akan memberi tumpuan kepada API berimpak tinggi seperti pengesahan nombor, penukaran SIM, padanan KYC termasuk pengesahan lokasi, pemangkin utama untuk memerangi penipuan digital dan mengukuhkan keselamatan urus niaga dalam talian.

"Ini akan memanfaatkan perniagaan dalam sektor-sektor seperti perkhidmatan kewangan dan e-dagang, misalnya penyedia e-dompet dan berskala hiper.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Prateek Pashine berkata kerjasama dengan Aduna membolehkan pembangunan perkhidmatan yang lebih selamat, mengutamakan pengguna, yang disokong oleh akses lancar ke API rangkaian termaju.

"Misi kami adalah untuk melengkapkan perniagaan dengan alat yang mereka perlukan agar mampu berinovasi untuk masa hadapan bermula hari ini. 

"'API memainkan peranan penting dalam ekonomi digital moden dan Maxis komited memanfaatkannya dalam membuka kunci nilai yang lebih besar untuk perniagaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aduna Anthony Bartolo berkata kerjasama ini akan membawa rangkaian API berpadu kami ke dalam salah satu ekonomi digital yang paling dinamik di Asia Tenggara, sekali gus memberikan perniagaan di Malaysia akses kepada penyelesaian yang berkuasa dan boleh diskalakan.”

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan