EKONOMI

Infomina Lancar Platform Penilaian Hartanah Digital Pertama Di Malaysia

19/07/2025 07:32 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) – Infomina Bhd, syarikat penyedia penyelesaian teknologi memperkenalkan ValuationXchange, platform penilaian hartanah digital pertama di Malaysia yang diiktiraf industri, melalui kerjasama strategik dengan Geolytik Tech Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan, di bawah kerjasama itu sebuah entiti usaha sama baharu, Infomina Geolytik Sdn Bhd, telah ditubuhkan dengan matlamat mempercepatkan pendigitalan penilaian dan pembiayaan hartanah di Malaysia, sambil meningkatkan ketelusan, kecekapan dan kepercayaan dalam sektor berkenaan.

Diiktiraf oleh PEPS Ventures Bhd, cabang komersial Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Sektor Swasta Malaysia (PEPS Malaysia), ValuationXchange direka untuk menggalakkan pematuhan yang lebih kukuh terhadap Piawaian Penilaian Malaysia (MVS) dalam kalangan pihak berkepentingan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Infomina Yee Chee Meng berkata platform itu memenuhi permintaan pasaran ke atas proses penilaian yang lebih telus dan efisien dalam membuat keputusan pembiayaan.

“ValuationXchange menyepadukan penilai, ejen harta dan bank ke dalam ekosistem digital yang lancar, membolehkan hasil yang lebih pantas, tepat dan mematuhi peraturan,” katanya.

Platform ini membolehkan agensi hartanah untuk mengesahkan kelayakan pembeli terlebih dahulu sebelum dihantar kepada pihak bank, sekali gus membantu mengurangkan kadar penolakan pinjaman dan memendekkan tempoh kelulusan.

Pembeli rumah boleh mendapat manfaat daripada kadar kepastian yang lebih tinggi, manakala institusi kewangan boleh menjangkakan peningkatan dalam kecekapan operasi dan mengurangkan permohonan yang tidak layak.

ValuationXchange menawarkan persekitaran yang sepenuhnya digital dan selamat, yang menyokong pematuhan terhadap rangka kerja Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) oleh Bank Negara Malaysia.

Ciri-ciri utama termasuk pematuhan kepada MVS, kerjasama masa nyata antara penilai dan pemberi pinjaman, serta jejak audit yang telus — semuanya dibangunkan dalam infrastruktur bertaraf perbankan milik Infomina.

Pengarah eksekutif Geolytik Tech Joe Thor berkata kerjasama itu menggabungkan kepintaran data dan infrastruktur digital yang selamat bagi menangani ketidakcekapan yang telah lama wujud dalam ekosistem hartanah dan pinjaman.

Infomina Geolytik pada masa ini sedang menyepadukan firma penilaian, agensi hartanah dan institusi kewangan di seluruh Malaysia.

Syarikat itu yang berada antara teknologi kewangan (fintech), teknologi hartanah (proptech) dan infrastruktur perusahaan, ia mewakili langkah strategik untuk memodenkan salah satu segmen pasaran yang paling penting tetapi secara tradisinya kurang mendapat perkhidmatan di Malaysia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan