GEORGE TOWN, 2 Ogos (Bernama) -- Pelarasan tarif air dijangka dapat membantu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melaksanakan tujuh komitmen projek, bagi menyelesaikan isu bekalan air di Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata bagi menangani isu kecukupan bekalan air di Seberang Perai Tengah (SPT), PBAPP sedang membina Loji Rawatan Air Taman Mengkuang di bawah Pelan Kontingensi Air Pulau Pinang 2030, yang dijangka dapat membekalkan sehingga 114 juta liter air terawat sehari, melibatkan kos pembinaan RM250 juta.
“Projek LRA Sungai Kerian Baharu dengan kos RM402 juta, bakal membekalkan tambahan 114 juta liter air sehari (JLH), sekali gus meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan perkhidmatan bekalan air di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS).
“Bagi meningkatkan penyaluran dan pengepaman air terawat dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau, PBAPP melaksanakan pembinaan saluran paip air terawat baharu berdiameter 1.8 meter sepanjang 3.9 kilometer dari Macallum ke Bukit Dumbar, dengan anggaran pelaburan RM416 juta.
“Projek seterusnya melibatkan penempatan LRA kompak di Sungai Kerian sebagai langkah sementara untuk penambahbaikan bekalan air di Seberang Perai Selatan (SPS), sehingga siap LRA Sungai Kerian 114 JLH pada tahun 2028, menaik taraf aset air utama termasuk pam utama di Kompleks Kolam air dan Stesen Pam Bukit Dumbar di bahagian pulau untuk menambah baik bekalan air di Daerah Barat Daya (DBD),” katanya.
Selain itu Pathmanathan berkata PBAPP turut melaksanakan pembinaan bangunan dos kimia baharu di LRA Sungai Dua, bagi penyediaan infrastruktur pengendalian dan penyelenggaraan bahan kimia lebih selamat, dan terakhir projek pengurangan kadar Air Bukan Hasil (NRW) melalui inisiatif penggantian meter air, pelaksanaan projek meter pintar, serta penggantian paip-paip utama dan injap Kadar Air Bukan Hasil (NRW).
Beliau berkata hasil tambahan daripada pelarasan itu juga, akan membantu menampung peningkatan perbelanjaan operasi PBAPP, termasuk kos perkhidmatan sokongan dan elektrik.
Pelarasan tarif air yang akan bermula Julai 2026, dijangka memberikan PBAPP hasil tambahan sekitar RM20 juta selama enam bulan dan akan digunakan untuk projek menaik taraf perkhidmatan bekalan air secara keseluruhan.
Pathmanathan berkata pelarasan itu dibuat di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2), dengan purata kenaikan sekitar 20 sen bagi setiap meter padu (m3) air.
Beliau berkata bagi penggunaan domestik bagi meter individu sehingga 25m3 sebulan, kadar baharu bermula 1 Julai 2026 ialah 65 sen dengan caj minimum RM6.50 berbanding kadar semasa RM6.20 sebulan.
“Bagi bukan domestik kadar baharu untuk penggunaan sehingga 35m3 ialah RM1.93 dan sekiranya melebihi 35m3 kadarnya RM2.31, dengan caj minimum RM19.30 sebulan.
“Untuk domestik (meter pukal kadar rata setiap m3 ialah RM1.92 dan caj minimum RM19.20 sebulan, rumah ibadat dan institusi kebajikan dikenakan caj rata 67 sen bagi setiap m3 dengan kadar caj minimum RM6.70,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi perkapalan Pathmanathan memberitahu kadar rata bagi setiap m3 dikenakan selepas itu ialah RM8.01 dengan caj minimum RM80.10 manakala kadar purata untuk pusat data ialah RM5.31 sebulan dengan caj minimum sebulan RM53.10.
Media sebelum ini melaporkan kadar tarif air bagi pengguna domestik hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dinaikkan bermula pada 1 Ogos, susulan pewartaan struktur baharu tarif air diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial