KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kabinet hari ini merakamkan ucapan takziah kepada Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni atas pemergian bapa Awang Sauni Pengiran Anis yang meninggal dunia awal pagi ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam hantaran di Facebooknya berharap Lukanisman sekeluarga tabah dan bersabar menerima ujian ini.
“Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Salam takziah kepada sahabat saya Lukanisman atas kembalinya ke rahmatullah ayahanda beliau. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta mendapat keredhaanMu. Al Fatihah,” katanya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut merakamkan rasa dukacita yang mendalam dan seluruh warga Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap pemergian bapa Lukanisman.
Beliau menyifatkan pemergian seorang bapa adalah kehilangan yang amat besar dalam hidup serta tiada ganti dan bandingan.
“Namun, kami mendoakan agar Lukanisman dan seisi keluarga terus dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menerima takdir ini dengan reda. Kami juga mendoakan agar segala amal kebaikan Allahyarham diterima Allah SWT, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri turut mengucapkan takziah kepada keluarga Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti itu.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Dengan penuh rasa dukacita, saya merakamkan ucapan takziah kepada Lukanisman atas pemergian ayahanda tercinta ke rahmatullah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Turut merakamkan ucapan takziah ialah Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi yang meluahkan rasa simpati serta mendoakan agar Lukanisman sekeluarga diberi ketabahan dan ketenangan hati dalam menghadapi ujian ini.
“Salam takziah daripada saya dan seluruh warga Kementerian Kerja Raya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial