Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Belian saham semasa harga rendah mendorong Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini lebih tinggi berikutan pelabur menyambut baik pengurangan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas semua produk Malaysia yang masuk ke negara itu selain sentimen pasaran yang positif berikutan pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Terdahulu, White House mengumumkan pengenaan tarif sebanyak 19 peratus ke atas Malaysia, lebih rendah berbanding 25 peratus yang diumumkan pada 7 Julai.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 20.10 mata atau 1.33 peratus untuk ditutup kepada 1,533.35 daripada 1,513.25 pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran yang dibuka 6.62 mata lebih tinggi kepada 1,519.87, mencecah paras rendah 1,519.17 dalam dagangan awal dan mencapai paras tertinggi 1,534.48 pada sesi petang.
Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 570 berbanding 452, manakala 521 kaunter tidak berubah, 947 tidak diniagakan dan 11 digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 3.16 bilion unit bernilai RM2.23 bilion daripada 3.77 bilion unit bernilai RM3.10 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup tinggi hari ini, dipacu oleh keyakinan baharu pelabur berikutan pengumuman White House mengenai tarif 19 peratus ke atas eksport Malaysia.
Menurutnya keputusan itu meletakkan Malaysia setanding dengan negara serantau seperti Indonesia, Thailand, Kemboja dan Filipina; rendah daripada Vietnam, Taiwan dan India tetapi lebih tinggi berbanding Jepun.
“Pengumuman berkenaan yang dibuat awal hari ini menamatkan spekulasi dan ketidakpastian selama empat bulan, memberikan hala tuju yang lebih jelas kepada perniagaan dan penggubal dasar pada masa hadapan dalam pelaksanaan strategi," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pada masa ini pelabur berwaspada menunggu data pekerjaan AS yang boleh menjadi faktor penentu sama ada Rizab Persekutuan AS akan menurunkan kadar faedah pada bulan depan.
“Bagaimanapun, data ekonomi China yang lebih rendah daripada jangkaan turut menjejaskan sentimen selepas aktiviti kilang di tanah besar itu menyusut pada Julai. Oleh itu, indeks petunjuk pasaran tempatan dijangka kekal dalam sentimen konsolidasi, bergerak pada sekitar paras 1,530,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 21 sen kepada RM9.60, Public Bank menokok lapan sen kepada RM4.29, Tenaga Nasional meningkat 28 sen kepada RM13.30, CIMB naik 24 sen kepada RM6.79 manakala IHH Healthcare menambah tiga sen kepada RM6.68.
Bagi saham paling aktif, Pegasus Heights dan TWL tidak berubah masing-masing pada setengah sen dan 2.5 sen, Pharmaniaga susut setengah sen kepada 17 sen manakala Tanco menokok setengah sen kepada 84 sen, dan Ekovest menambah dua sen kepada 43.5 sen.
Selain Tenaga dan CIMB, kaunter paling untung lain termasuk UMS Integration yang baru disenaraikan di Pasaran Utama dengan kenaikan 50 sen kepada RM5.50, Ajinomoto dan Gamuda masing-masing menokok 22 sen kepada RM13.08 dan RM5.40, dan Allianz Malaysia naik 18 sen kepada RM17.60.
Bagi kaunter paling rugi, Nestle susut 34 sen kepada RM87.80; dan Kuala Lumpur Kepong dan Mesiniaga masing-masing berkurangan 16 sen kepada RM19.42 dan RM1.30.
Di keseluruhan pasaran, Indeks FBM Emas melonjak 124.86 mata kepada 11,525.33, Indeks FBMT 100 meningkat 129.12 mata kepada 11,285.63, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 79.09 mata kepada 11.540.
Indeks FBM 70 melonjak 109.26 mata kepada 16,713.87 dan Indeks FBM ACE naik 6.16 mata kepada 4,624.37.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 327.50 mata kepada 17,480.20, Indeks Tenaga meningkat 1.26 mata kepada 749.60, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian tidak berubah pada 159.14 manakala Indeks Perladangan susut 24.07 mata kepada 7,370.97.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.97 bilion unit bernilai RM1.98 bilion daripada 1.94 bilion unit bernilai RM2.77 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 895.32 bilion unit bernilai RM143.46 juta daripada 1.43 bilion unit bernilai RM210.54 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 289.60 juta unit bernilai RM108.93 juta daripada 404.93 juta unit bernilai RM124.64 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 199.04 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (287.73 juta), pembinaan (267.22 juta), teknologi (251.30 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (62.51 juta), hartanah (491.17 juta), perladangan (25.68 juta), REIT (14.50 juta), dana tertutup (21,600), tenaga (125.07 juta), penjagaan kesihatan (164.44 juta), telekomunikasi dan media (23.25 juta), pengangkutan dan logistik (22.84 juta), utiliti (39.32 juta) dan amanah perniagaan (14,700).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial