SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Pelarasan tarif air di Negeri Sembilan tidak akan membebankan rakyat sebaliknya mereka bakal menerima manfaat perkhidmatan yang lebih baik pada masa depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata pelarasan itu tidak dibuat secara sesuka hati sebaliknya dikaji serta dibincangkan lebih menyeluruh bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), dengan kebanyakan negeri juga bersetuju tentang kenaikan.
"Pelarasan ini adalah sesuatu yang boleh memberi kebaikan terutamanya dapat menyelaraskan semula hutang ditanggung Pengurusan Aset Air Berhad Negeri Sembilan sebanyak RM700 juta semasa membina Pusat Rawatan Air Ngoi-Ngoi 2 selain penyediaan empangan baharu.
"Hasil daripada tarif baharu ini nanti kita dapat melaksanakan pengurusan Air Tidak Terhasil dengan lebih baik dan penggantian paip menyeluruh sekali gus membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan air di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kibarkan Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Aminuddin berkata kos operasi kini meningkat dengan ketara akibat kenaikan tarif elektrik yang menambah beban sebanyak RM700,000 sebulan sejak Julai lepas untuk pam air terutama bagi sektor komersial dan industri.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi pengguna domestik, kadar subsidi masih dikekalkan untuk 40 meter padu iaitu 20 meter padu pertama diberi subsidi penuh manakala 20 meter padu seterusnya dikenakan kadar minimum.
“Kita hanya ambil keuntungan sekitar 10 sen sahaja daripada kos rawatan dan pengurusan air, walaupun tarif dinaikkan pengguna domestik masih menikmati kadar yang lebih rendah.
“Kos sebenar rawatan air di negeri ini adalah antara RM1.10 hingga RM1.15 setiap meter padu tetapi pengguna hanya dikenakan sekitar 70 sen sahaja bermakna kerajaan masih menanggung subsidi lebih 40 sen,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan rakyat di negeri ini untuk memahami rasional kenaikan tersebut dan menyokong usaha kerajaan dalam memastikan kelestarian bekalan air jangka panjang.
Semalam, media melaporkan kadar tarif air bagi pengguna domestik hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dinaikkan bermula 1 Ogos, susulan pewartaan struktur baharu tarif air diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Kenaikan itu melibatkan peningkatan kadar purata sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu, menjadikan kadar baharu RM2.75 berbanding RM2.55 sebelum ini. Pelarasan itu bagaimanapun, tidak melibatkan Perak bagi kategori pengguna domestik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial