KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Pelan tindakan sara hidup negara baharu akan diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai usaha menyeluruh dalam memperkukuh perancangan, pelaksanaan dan pemantauan strategi untuk menangani kos sara hidup.
Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, pelan tindakan baharu itu bakal memberikan tumpuan antara lain kepada penstabilan harga barangan dan perkhidmatan serta pengurusan subsidi.
"Pembangunan terangkum dari perspektif pelbagai dimensi akan diperkukuh bagi mempertingkatkan mobiliti dan kesepaduan sosial. Strategi akan terus ditumpukan kepada ikhtiar memperkukuh pengurusan kos sara hidup, menangani kemiskinan, merapatkan kesenjangan serta menambah baik perlindungan sosial," menurut dokumen itu.
Selain itu, penguatkuasaan secara menyeluruh juga akan dilaksanakan dengan mengintegrasikan skop penguatkuasaan di seluruh rantaian bekalan dan pengedaran untuk menangani gejala pencatutan dan antipersaingan.
"Inisiatif bagi menawarkan barangan dan perkhidmatan pada harga yang berpatutan seperti Program Jualan RAHMAH MADANI akan diperluas ke lebih banyak lokaliti bersesuaian terutama di kawasan luar bandar," menurut dokumen itu.
Menerusi strategi menangani kemiskinan, dokumen itu menyatakan usaha bersepadu akan terus dipergiat untuk membasmi kemiskinan menerusi pewujudan peluang yang saksama dari perspektif pelbagai dimensi termasuk pendidikan, kesihatan dan taraf hidup.
"Dasar yang menyeluruh pada peringkat nasional akan digubal untuk menyediakan hala tuju dan pendekatan baharu dalam menangani kemiskinan pelbagai dimensi.
"Pangkalan Data Utama (PADU) akan dijadikan sumber rujukan dalam mengenal pasti kumpulan sasar bagi pelaksanaan intervensi bantuan sosial dan program kemiskinan untuk mengurangkan ralat pemasukan dan penyisihan," menurut dokumen itu.
Sementara itu, dokumen memaklumkan reformasi perlindungan sosial yang dimulakan di bawah Kajian Separuh Penggal RMK12 akan diteruskan dalam RMK13 dengan memberikan tumpuan kepada pengukuhan perlindungan sosial secara menyeluruh.
"Sehubungan itu, Dasar Perlindungan Sosial Negara akan dirangka bagi menyediakan liputan perlindungan yang terangkum dan menyeluruh kepada rakyat.
"Selain itu, rangka kerja sistem persaraan dan perlindungan keselamatan sosial akan ditambah baik termasuk mekanisme pendaftaran dan liputan caruman mandatori skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” menurut dokumen itu.
Dalam tempoh RMK12, dokumen itu menyatakan beberapa petunjuk sosioekonomi terpilih menunjukkan pencapaian yang baik dengan pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat daripada RM7,901 pada 2019 kepada RM9,155 pada 2024.
"Insiden kemiskinan mutlak berada pada tahap 5.8 peratus pada 2024 berbanding 5.6 peratus pada 2019. Pencapaian ini lebih baik daripada insiden kemiskinan pada 2020 yang mencecah 8.4 peratus akibat pandemik COVID-19," menurut dokumen itu.
Dokumen tersebut menyatakan sebanyak 8.5 juta isi rumah telah menerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 2025 dengan 5.4 juta isi rumah turut menerima Sumbangan Asas Rahmah.
Sehingga Jun ini, sebanyak 6,171 isi rumah telah menyertai program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan 442 peserta di bawah Pembasmian Miskin Tegar berjaya meraih pendapatan melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan makanan.
"Seramai 1,877 peserta IPR-INTAN dan IPR-INSAN telah berjaya meningkatkan pendapatan bulanan melebihi RM2,000," menurut dokumen itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial