SUKAN

Hannah Minta Beri Masa Kepada Jonassen

31/07/2025 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta semua pihak memberi ruang dan masa kepada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara Kenneth Jonassen untuk melakar perancangan terbaik selepas prestasi hambar sektor perseorangan di Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 di Solo, Indonesia, minggu lepas.

Menurut Hannah, kementeriannya yakin segala sokongan yang diperlukan telah disalurkan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) buat jurulatih berusia 51 tahun dari Denmark itu, yang menggalas tanggungjawab tersebut sejak Januari lepas.

"Jurulatih baharu belum panas badan. Kita perlu beri masa kepada beliau untuk menilai dan mencorakkan pemain. Melahirkan juara bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam sebulan dua," katanya demikian selepas menutup Kejohanan Golf Terbuka Amatur Wanita Malaysia ke-39 ASEAN di Templer Park Country Club, dekat sini hari ini.

Kenyataan Hannah itu menyusul selepas legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei semalam, meminta agar Jonassen tidak dibebani dengan harapan tinggi memandangkan beliau baru menyertai Akademi Badminton Malaysia (ABM) kurang daripada 12 bulan lalu.

Sebelum ini, bekas jurulatih kebangsaan Wong Tat Meng turut menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan pembangunan pemain remaja negara yang didakwanya boleh mencetuskan krisis dalam acara perseorangan jika tiada langkah segera diambil.

Pada BAJC 2025 yang berakhir pada 27 Julai lalu, semua wakil perseorangan negara terkandas di pusingan awal.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan