AM

73,051 Pegangan Pertanian Direkodkan Di Terengganu

30/07/2025 05:25 PM

KUALA TERENGGANU, 30 Julai (Bernama) -- Sebanyak 73,051 pegangan pertanian direkodkan di Terengganu bagi 2023, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Datuk Dr Azman Ibrahim.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 99.1 peratus atau 72,367 melibatkan pegangan pertanian individu manakala 0.9 peratus atau 684 lagi mewakili pertubuhan.

"Sebanyak 58,435 pegangan pertanian melibatkan subsektor tanaman diikuti ternakan (12,018), perikanan tangkapan (3,013), akuakultur (988) serta pembalakan dan perhutanan (195).

"Berdasarkan data Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Terengganu merupakan penyumbang terbesar dari segi bilangan pegangan pertanian dalam bidang subsektor ternakan yang merangkumi 25.7 peratus daripada keseluruhan 46,781 pegangan pertanian di Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Peringkat Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Perangkawan merangkap Pesuruhjaya Banci Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Dr Azman berkata sebanyak 227,000 hektar keluasan bertanam subsektor direkodkan di Terengganu manakala keluasan bertuai berjumlah 195,300 hektar.

Beliau berkata tanaman kelapa sawit mencatat keluasan bertanam dan bertuai tertinggi diikuti getah dan padi.

Pegangan pertanian ditakrifkan sebagai individu atau pertubuhan yang mengurus aktiviti pertanian di bawah satu pengurusan tanpa mengambil kira saiz, status pemilikan atau lokasi tanah.

Dr Azman berkata secara keseluruhan, kuantiti jualan bagi subsektor tanaman di Terengganu pada 2023 ialah sebanyak 3.6 juta tan metrik dengan nilai jualan berjumlah RM4.03 bilion.

Bagi subsektor ternakan, katanya nilai jualan ialah sebanyak RM403.72 juta diikuti subsektor perikanan (RM438.89 juta), subsektor akuakultur (RM251.54 juta) dan subsektor perhutanan serta pembalakan (RM256.87 juta).

"Nilai keseluruhan hasil sektor pertanian Terengganu direkodkan berjumlah RM5.39 bilion, sekali gus menunjukkan sumbangan signifikan kepada ekonomi negeri," katanya.

Beliau berkata data diperoleh melalui banci pertanian akan menjadi rujukan utama dalam penyediaan dasar, strategi pembangunan dan penyelidikan khususnya dalam menyokong agenda keterjaminan makanan, kemampanan sumber serta daya saing sektor pertanian negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan