AM

TUDM Garis Enam Tonggak Hadapi Cabaran Masa Depan - Panglima

23/07/2025 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggariskan enam tonggak utama bagi mendepani cabaran masa hadapan serta meneruskan legasi kegemilangan pasukan itu.

Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata enam tonggak berkenaan perlu dikupas, difahami, dihayati, diterapkan serta dilaksanakan secara holistik di setiap formasi udara oleh setiap warga TUDM.

Beliau berkata tonggak itu terdiri daripada Mencapai Keupayaan dan Kesiagaan Tertinggi, Kemampanan Aset Pertahanan Udara, Memperkukuh Kecemerlangan Warga, Meningkatkan Dukungan Logistik, Memperkasakan Doktrin dan Prosedur dan Melestarikan Warga Udara.

"Pemahaman warga TUDM terhadap kesemua tonggak ini akan menjadikan asas yang kukuh kepada setiap warga untuk membangun dan meletakkan pasukan ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Udara di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim, Panglima Operasi Udara Leftenan Jeneral Datuk Masro Kaliwon, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Tarminzi Mustapha dan Panglima Bantuan Udara Mejar Jeneral Ahmad Khusairi Ahmad Fadhli.

Beliau berkata TUDM perlu mencapai keupayaan dan kesiagaan tertinggi dengan mengambil iktibar daripada peperangan moden antara Russia-Ukraine, Iran-Israel serta India-Pakistan. 

"Kita perlu memastikan pemantauan berkala yang berterusan terhadap sembilan sasaran strategik dan tujuh program utama CAP55 mengikut garis masa yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Muhamad Norazlan juga memaklumkan TUDM akan menggunakan Indeks Jisim Badan (BMI) sebagai antara indikator sokongan dalam pembangunan kerjaya anggota pasukan itu.

Katanya ia selaras dengan aspirasi membentuk anggota yang sihat, cergas dan berdisplin. 

"Saya memandang serius isu berat badan berlebihan dalam kalangan anggota dan pendekatan ini bukan bersifat hukuman, tetapi galakan kepada gaya hidup sihat dan profesionalisme ketenteraan. 

"Program kecergasan anggota akan diperkasakan secara berfasa bermula pada tahun ini dengan pendekatan inklusif dan bersesuaian dengan peringkat umur," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan