AM

KPKT Pastikan Limpahan Manfaat Kestabilan Ekonomi Negara Dinikmati Rakyat - Nga

23/07/2025 07:17 PM

PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan segala limpahan manfaat daripada kestabilan ekonomi negara dapat dinikmati oleh rakyat menerusi perancangan yang lebih holistik, pendekatan menyeluruh dan pembangunan bandar yang berdaya huni serta mampan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kementerian itu komited untuk mempergiat dan memperkasakan usaha dalam memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan memberikan kesejahteraan dan keselesaan kepada rakyat.

Beliau berkata pengumuman bantuan rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencerminkan dasar yang berpijak di bumi nyata iaitu rakyat yang menjadi tulang belakang kejayaan negara tidak dilupakan, malah sentiasa dihargai. 

“Segala pertumbuhan ekonomi, pelaburan bersejarah, pengukuhan mata wang serta peningkatan daya saing negara kini diterjemahkan secara langsung dalam bentuk manfaat yang menyentuh kehidupan seharian rakyat. 

“Langkah-langkah ini bukan sekadar inisiatif bantuan, malah pengiktirafan terhadap keyakinan rakyat kepada kepimpinan Kerajaan MADANI dalam memperkasakan agenda pembaharuan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nga berkata antara pengumuman yang disambut baik oleh KPKT termasuk pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 untuk semua rakyat 18 tahun ke atas menjelang Hari Kebangsaan, pengekalan kadar tol bagi 10 lebuh raya utama.

Selain itu, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, cuti umum tambahan sempena Hari Malaysia pada 15 September dan perluasan Jualan Rahmah MADANI dengan peruntukan yang digandakan kepada RM600 juta.

“KPKT yakin dengan semangat MADANI dan kesepaduan pelbagai pihak, Malaysia mampu mara sebagai sebuah negara maju yang bukan sahaja stabil dari segi ekonomi tetapi juga adil dan saksama semua,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan