AM

Peralihan Kepada Majalah Digital Bukan Lagi Pilihan, Tetapi Keperluan - DBP

23/07/2025 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Peralihan daripada majalah bercetak kepada majalah digital bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan dalam dunia yang serba pantas dan dipacu teknologi, kata Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Beliau berkata peralihan itu bukan sahaja menawarkan penjimatan kos, malah meningkatkan kebolehcapaian serta memperkasa penyampaian kandungan secara lebih interaktif.

“Penggunaan platform digital membolehkan kos berkaitan percetakan, pengedaran dan penyimpanan fizikal dikurangkan secara ketara, menjadikannya lebih mesra kepada penerbit dan pembaca… Ia juga membuka peluang lebih luas kepada penerbit kecil untuk menjangkau pasaran lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia di Wisma DBP di sini hari ini. 

Anwar yang juga Sasterawan Negara berkata majalah digital juga menyumbang kepada kelestarian alam sekitar apabila ia menghapuskan keperluan terhadap bahan bercetak yang lazimnya memerlukan penggunaan kertas, dakwat dan tenaga pengangkutan, faktor yang menyumbang kepada penebangan hutan serta pelepasan karbon.

Selain itu, beliau berkata kandungan digital turut menawarkan pengalaman pembacaan yang lebih menarik menerusi elemen interaktif seperti video, animasi, pautan serta maklum balas segera, sesuatu pengalaman yang tidak dapat disediakan oleh halaman bercetak konvensional.

“Generasi muda pula dilihat sangat erat hubungannya dengan dunia digital, menyebabkan mereka cenderung memilih penggunaan majalah digital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari berkata biarpun perkembangan majalah digital wajar diraikan, namun isu kualiti, kredibiliti dan ketulenan kandungan perlu dititikberatkan.

Beliau berkata ini adalah kerana dalam dunia media baharu, sesiapa sahaja boleh menerbitkan apa-apa penulisan atau mencipta sebarang bentuk kandungan.

“Hal ini menjadikan tanggungjawab moral dan profesional semakin besar, terutamanya apabila melibatkan penggunaan bahasa, penyampaian fakta dan penghayatan nilai budaya,” katanya.

Justeru, beliau berkata penerbitan dalam media baharu perlu disokong oleh ekosistem yang mampan termasuk  latihan media digital, kesedaran literasi maklumat, dasar penyiaran yang jelas dan insentif kepada penulis atau pencipta kandungan serta wartawan berbahasa Melayu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan