KOTA BHARU, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan sedang melaksanakan dua komponen utama bagi menangani isu bekalan air secara berperingkat ke kawasan sawah padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), yang bergantung kepada air Sungai Kelantan sebagai sumber utama pengairan.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata dua projek sedang giat dijalankan ketika ini iaitu pembinaan Stesen Pam Kemubu 3 serta projek sistem pam boleh alih di Stesen Pam Kemubu dan Lemal.
Beliau berkata bagi projek Stesen Pam Kemubu 3, kerja-kerja pembinaan dan penyiapan dilaksanakan oleh Kenanga Lestari Sdn Bhd bermula 1 Jun 2023, dengan tarikh siap ditetapkan pada 25 Nov 2025, melibatkan tempoh kontrak selama 104 minggu.
“Setakat ini, kemajuan fizikal projek itu telah mencapai 68 peratus, selari dengan jadual pelaksanaan,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Saizol Ismail (PAS–Salor) mengenai status terkini pembaikan Rumah Pam Kemubu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Tuan Mohd Saripudin berkata terdapat beberapa isu teknikal di tapak yang memerlukan kerja tambahan dan pelarasan pelan asal, antaranya perubahan laluan kabel, pemasangan parit dan FSI untuk pam lajur serta penemuan batu hampar keras di tebing sungai yang menyebabkan kelewatan kerja cerucuk selain perubahan pelan bagi laluan kabel dan bilangan kotak simpang.
Sementara itu, beliau berkata projek pam boleh alih di Stesen Pam Kemubu dan Lemal yang dikendalikan oleh Ari Usaha Murni Sdn Bhd, bermula pada 21 Okt lepas dan dijadualkan siap pada 7 Ogos ini dengan tempoh pelaksanaan selama sembilan bulan, kini mencatatkan kemajuan hanya 49 peratus.
“Ini jauh di bawah sasaran sebenar iaitu 99 peratus, dengan kelewatan 136 hari atau negatif 50 peratus. Antara faktor kelewatan ialah pengurusan kontraktor yang lemah serta aliran kewangan syarikat yang tidak memuaskan,” katanya.
Berikutan itu, perkara berkenaan telah dibawa ke mesyuarat Panel Penyelarasan Kontrak (CCP) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 30 April 2025 dan kini dalam tindakan penamatan kontrak oleh pihak kementerian.
Beliau berkata kerajaan negeri melalui kerjasama erat dengan KADA dan KPKM akan terus memantau rapi kemajuan projek serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual dan memberi manfaat langsung kepada pesawah, seterusnya menjamin bekalan makanan negeri dan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial