KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Kementerian Komunikasi kekal komited untuk memperkukuh ekosistem dalam talian negara dengan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan adil untuk pengkarya tempatan terus berkarya, berkongsi, dan berkembang.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kementerian itu menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penggubalan perundangan bagi melindungi hak cipta dan ketulenan karya tempatan yang dimuat naik ke platform dalam talian.
“Langkah ini penting bagi memastikan karya tempatan tidak berdepan pelbagai bentuk ancaman, termasuk plagiat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fahmi turut mengucapkan tahniah kepada kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque bersempena dengan Majlis Pelancaran Buku Melukis dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun karya beliau hari ini.
Terdahulu, Fahmi berkata beliau hadir bagi memberikan sokongan kepada Zunar pada majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri itu.
Buku Melukis Dengan Hati: Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar setebal 230 muka surat mendokumentasikan pelbagai fasa penting dalam karier seni anak kelahiran Kedah itu daripada kartun pertamanya di Majalah Bambino, Majalah Gila-Gila, Berita Harian, Harakah, dan MalaysiaKini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial