AM

Projek Kota MADANI Bukan Bersifat Kosmetik - Dr Zaliha

22/07/2025 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Projek pembangunan Kota MADANI bukan bersifat kosmetik atau bermotifkan politik namun ia merupakan inisiatif strategik bagi menjamin kesejahteraan penjawat awam yang merupakan tulang belakang pentadbiran negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) ke atas Pengurusan Pembangunan Putrajaya pada 2021 menunjukkan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJHSB) perlu membina 35,000 unit kuarters kerajaan di Putrajaya, namun kini hanya terdapat 22,452 unit disediakan manakala bakinya belum dibangunkan.

Dr Zaliha berkata berdasarkan rekod Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) setakat 15 Jun lepas pula mendapati bilangan penjawat awam yang menunggu bagi pengisian kuarters kerajaan adalah sebanyak 17,366 orang berbanding kekosongan unit sejumlah 1,449 unit.

“Sehubungan itu, bagi memenuhi keperluan berkenaan, maka kerajaan telah merancang inisiatif pembangunan Kota MADANI, yang melibatkan pembinaan 10,000 unit kuarters kerajaan yang baharu.

“Pembangunan ini akan memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 10,000 penjawat awam dan akan dilaksanakan di atas tanah seluas 102 ekar (41.27 hektar) di Presint 19, Putrajaya,” katanya menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang ingin tahu asas pemilihan dan hala tuju projek rintis Kota MADANI serta perancangan kerajaan bagi memastikan ia tidak sekadar menjadi projek bersifat kosmetik tanpa manfaat sebenar kepada rakyat.

Dr Zaliha berkata konsep Kota MADANI bukan sekadar penyediaan perumahan tetapi merupakan satu model pembangunan bandar berteraskan kepada ciri-ciri mesra pejalan kaki, inklusif, berintegrasi, serta mampan dan berperikemanusiaan.

Beliau berkata selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, antara kemudahan awam yang dirancang termasuklah sekolah, masjid, taska, gimnasium serta ruang komuniti yang saling berdekatan bagi menyokong gaya hidup sihat dan lestari.

“Kota MADANI bukan projek mewah atau elitis, tetapi ia berasaskan kepada keperluan nyata. Untuk makluman, konsep pembangunan padat dan pembangunan menegak merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang Putrajaya sejak 1998 tetapi akhirnya hanya diterjemah melalui projek Kota MADANI,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan