KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mempelawa orang ramai menghadiri majlis Malaysia Bermunajat yang akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya pada esok.
Mohd Na’im berkata majlis penuh keberkatan yang akan bermula 6 petang hingga 9 malam itu turut dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Malaysia Bermunajat ialah wadah untuk kita kembali memperkukuh hubungan dengan Allah SWT, memohon keampunan, serta mendoakan keamanan, perpaduan dan keberkatan buat negara Malaysia tercinta.
“Ia juga menjadi simbol kesatuan ummah dalam menjunjung agenda Malaysia MADANI yang berteraskan nilai ihsan dan kesejahteraan insani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara pengisian utama program itu, termasuk solat maghrib berjemaah, Bayan (nasihat agama) oleh Maulana Tariq Jamil, solat isyak dan solat hajat berjemaah serta ucapan khas Perdana Menteri.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama mengimarahkan rumah Allah itu, membina kekuatan spiritual dan memperteguh kesatuan ummah melalui doa dan ibadah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial