BUKIT MERTAJAM, 30 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bertemu pihak pengurusan TikTok bagi mendapatkan penjelasan susulan peningkatan kebimbangan para ibu bapa dengan trend Personal Knockout Battle, atau PK Battle, dalam kalangan golongan muda.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pihaknya memandang serius kebimbangan ibu bapa mengenai jumlah wang yang dibelanjakan anak mereka bagi membeli ‘gift’ atau hadiah dalam aplikasi tersebut semata-mata untuk menyertai trend itu.
Beliau berkata arahan telah dikeluarkan pagi tadi dan pihaknya menjangkakan wakil TikTok akan hadir memberikan maklum balas dalam tempoh terdekat, selewat-lewatnya minggu ini.
“Isu ini telah dilaporkan oleh media dan kami memandangnya secara serius. Memandangkan TikTok telah diluluskan lesen operasinya di sini maka mereka perlu tampil memberi penjelasan dan menyatakan apa langkah yang boleh diambil untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam sidang media selepas melawat NADI Kubang Semang di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Julina Johan.
Fahmi berkata kerajaan melalui Kementerian Komunikasi komited dalam melindungi golongan bawah umur daripada terdedah kepada kandungan media sosial yang tidak sesuai.
“Itulah sebabnya kerajaan menegaskan bahawa kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak seharusnya mempunyai akaun TikTok, Instagram atau mana-mana media sosial lain.
"Mereka mudah terikut dengan trend seperti PK Battle tanpa benar-benar memahami kesannya terhadap diri sendiri,” katanya.
Pada 28 Mei lepas, sebuah badan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat telah menghantar memorandum ke Istana Negara untuk meminta campur tangan Yang di-Pertuan Agong agar PK Battle di aplikasi TikTok diharamkan.
Sementara itu, menyentuh mengenai penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM), Fahmi berkata semua proses sedang berjalan namun ia dijangka mengambil masa khususnya daripada aspek kewangan.
Fahmi berkata beliau telah mengarahkan Mohamad Fauzi untuk meneliti kaedah paling berkesan bagi memastikan dana yang dirancang dapat disalurkan secara lancar kepada MMM dan majlis itu, melalui akta yang telah dikuatkuasakan, boleh meraih dana daripada mana-mana sumber yang sah.
“Saya harap dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang, sekurang-kurangnya beberapa mesyuarat awal dapat dilaksanakan namun dalam tempoh enam bulan selepas penubuhan MMM, Lembaga Pengasas perlu melaksanakan proses pemilihan bagi menentukan ahli jawatankuasa,” katanya.
Beliau berkata kerajaan belum mengadakan perbincangan mendalam mengenai perkara itu kerana ingin memberi ruang kepada pihak Lembaga Pengasas meneliti beberapa perkara penting selain berkemungkinan menjemput mereka untuk perbincangan lanjut dalam satu atau dua minggu lagi.
Usaha membentuk MMM dibuat selepas Rang Undang-Undang MMM yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 Feb lepas dan Dewan Negara pada 19 Mac mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan seterusnya diwartakan.
Fahmi mengumumkan penguatkuasaan akta itu pada 14 Jun lepas bersempena kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional 2025 dan berkata pelaksanaannya menjadi satu reformasi paling besar untuk membantu pengamal media di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial