AM

Lawatan PM Ke Tiga Negara Guna Penerbangan Sewaan Khas Jimat Masa, Kos

30/06/2025 05:25 PM

PUTRAJAYA, 30 Jun (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tiga pusat ekonomi utama dunia bermula esok hingga 7 Julai ini akan menggunakan perkhidmatan penerbangan sewaan khas daripada Malaysia Airlines.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata lawatan tersebut melibatkan destinasi Rom (Itali); Paris (Perancis); dan Rio de Janeiro (Brazil) dengan jadual yang padat tanpa transit panjang.

Beliau berkata penggunaan penerbangan sewaan khas diputuskan selepas mengambil kira faktor penjimatan masa, kos dan penyelarasan delegasi.

"Keputusan ini membolehkan jadual padat Perdana Menteri di ketiga-tiga negara berjalan lancar tanpa perlu transit lama. Kos penerbangan sewaan khas juga lebih ekonomik berbanding operasi penuh pesawat kerajaan.

"Selain itu penyelarasan yang menyaksikan delegasi kerajaan dan perniagaan berlepas dan tiba bersama-sama, menjamin kehadiran tepat waktu untuk semua mesyuarat dan sesi libat urus," katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), di sini hari ini.

Tunku Nashrul berkata kos penerbangan bagi delegasi rasmi kerajaan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, manakala delegasi peniagaan akan menanggung sendiri kos masing-masing.

"Kesemua delegasi perniagaan akan tetap berada di ketiga-tiga negara terlibat. Berikutan itu, Perdana Menteri menjemput mereka untuk ikut serta dalam delegasi besar Malaysia supaya dapat menjimatkan kos semua pihak selain memastikan penyelarasan yang lebih teratur di ketiga-tiga negara tersebut.

"Jadi di sini ingin saya tegaskan sekali lagi tidak berlaku sebarang konflik kepentingan melibatkan kerajaan dan delegasi peniagaan," katanya.

Antara delegasi perniagaan yang akan menyertai misi berkenaan adalah Petronas, Khazanah, Tenaga Nasional Bhd (TNB), Maybank, FGV, YTL Power dan Sunway.

Tunku Nashrul berkata lawatan Perdana Menteri itu akan mengukuhkan kerjasama ekonomi dan perdagangan, membuka pasaran baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata kehadiran Perdana Menteri di Sidang Kemuncak BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) di Rio de Janeiro akan mengangkat suara ASEAN dalam tadbir urus global serta memastikan agenda Selatan-Selatan terus dipertingkat. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan