AM

Kelemahan Penyampaian Maklumat Punca KDEBWM Rekod Saman Tertunggak Tertinggi

25/06/2025 09:32 PM

SHAH ALAM, 25 Jun (Bernama) -- Kelemahan dalam penyampaian maklumat notifikasi saman oleh subkontraktor dikenal pasti sebagai antara punca KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi. 

KDEBWM dalam kenyataan memaklumkan majoriti kenderaan dikendalikan oleh syarikat-syarikat subkontraktor yang dilantik secara sah dan berdasarkan kontrak, mereka bertanggungjawab terhadap sebarang saman yang dikeluarkan ke atas kenderaan atau pemandu masing-masing.  

“Menurut prosedur Jabatan Pengangkutan Jalan, sekiranya saman tidak dijelaskan dalam masa tiga bulan, notis akan dikeluarkan kepada pemilik berdaftar iaitu KDEBWM, dengan tambahan dua bulan lagi untuk penyelesaian. 

“Sebaik sahaja menerima notifikasi rasmi, KDEBWM telah mengambil tindakan segera dengan membuat semakan dalaman dan menyelesaikan saman secara berperingkat. Setakat hari ini, sebanyak 13,000 saman berjaya diselesaikan oleh pihak kami,” menurut kenyataan itu. 

KDEBWM turut memaklumkan syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan itu mengoperasikan lebih 1,500 unit kenderaan, termasuk lori sampah (kompaktor) dan Roll On Roll Off (RoRo) di seluruh Selangor dengan operasi dijalankan bagi memastikan tahap kebersihan dan perkhidmatan yang terbaik. 

Justeru, anak syarikat Kerajaan Selangor itu menjelaskan dalam konteks skala operasi yang besar itu sebarang statistik berkaitan jumlah saman perlu diteliti secara holistik. 

“Sebagai contoh, dua saman bagi satu lori sehari boleh menjana hampir 3,000 saman dalam sebulan dan melebihi 9,000 saman dalam tempoh tiga bulan jika melibatkan ratusan kenderaan aktif setiap hari,” menurut kenyataan itu. 

KDEBWM dalam kenyataan sama turut meluahkan penghargaan terhadap peranan dan tanggungjawab  JPJ dalam memastikan keselamatan jalan raya.

Syarikat itu turut menyatakan komitmen penuh untuk memperkukuh sistem pemantauan dalaman, memperkemas komunikasi dengan subkontraktor serta memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dilaksanakan secara konsisten dan berintegriti. 

“Kami percaya kerjasama erat antara pihak industri dan penguat kuasa adalah kunci kepada operasi yang lebih cekap, selamat dan mampan. KDEBWM akan terus memperbaiki sistem dan proses sedia ada demi kepentingan rakyat dan negara,” maklum kenyataan itu. 

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan hari ini mendedahkan senarai 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dan 17 syarikat bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata antara syarikat terbabit ialah KDEBWM dengan 22,017 saman, Mainiza Mantap Sdn Bhd (5,108), Advancecon Mantap Sdn Bhd (3,620), Cepat Ekspres Sdn Bhd (540) dan New Hoover Ekspress & Travels Sdn Bhd (512).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan