AM

Program Cari Harta Karun Bertemakan Minyak Kelapa Sawit Felda, Terima Pengiktirafan MBR

01/08/2025 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini mencipta sejarah dengan menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) atas pencapaian Most Participants In Oil Palm-Themed Treasure Hunt yang disertai oleh golongan peneroka.

Pengiktirafan tersebut diperoleh melalui Program Kembara Sawit Lestari di bawah Kluster Empat (Kelestarian) Felda, yang menampilkan pelbagai aktiviti antaranya indoor huntscavenger hunt dan educational hunt yang dianjurkan sepenuhnya dalam bangunan, dengan penyertaan 1,040 peserta.

Program itu diadakan bersempena Hari Peneroka Felda 2025 dengan petunjuk, tugasan dan teka, direka secara kreatif berasaskan pengetahuan serta pemahaman mengenai tanaman sawit serta pameran yang dipamerkan di seluruh dewan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Pegawai Khas MBR Edwin Yeoh menyerahkan sijil pengiktirafan tersebut kepada Pengarah Besar Felda Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman, dalam majlis yang diadakan di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini. Turut hadir Timbalan Pengarah Besar Perladangan Felda Izham Mustaffa.

Sementara itu, Izham berkata selain program tersebut, Seminar Jawatankuasa Permuafakatan Produktiviti dan Kualiti (JPPK) yang bermula 31 Julai hingga esok, turut dianjurkan Felda bagi memastikan pendapatan dan penghasilan keseluruhan aktiviti sawit dapat dijana secara maksimum.

“Jika kebersamaan ataupun maklumat yang tepat dapat dilaksanakan, maka insya-Allah satu pencapaian produktiviti dan kualiti dapat dihasilkan melalui program dan seminar ini,” katanya ditemui media selepas majlis penyerahan sijil pengiktirafan MBR.

Beliau berkata Felda sebagai pengeluar sawit, komited untuk memastikan produk dikeluarkan adalah lestari dan dapat dipasarkan ke seluruh dunia bertepatan dengan tema “Sawitku Mendunia”.

“Maknanya sawit kita 80 peratus daripada hasil titik peluh peneroka kita dapat dipasarkan di seluruh dunia insya-Allah,” katanya.

Izham berkata keseluruhan rancangan Felda telah disijilkan dengan skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang menyokong semua elemen-elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan kerajaan.

“Kita mengamalkan amalan yang baik, mematuhi segala undang-undang dan prinsip-prinsip pematuhan yang ada dalam pengurusan sawit, selain memastikan tata kelola baik untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata amalan tersebut akan diterapkan di semua peringkat, merangkumi peneroka, generasi baharu, pekerja dan pihak pengurusan, sejajar dengan pematuhan terhadap segala peraturan serta keperluan yang digariskan di bawah pensijilan MSPO.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan