SHAH ALAM, 1 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 1,260 unit rumah mampu milik Idaman Bukit Jelutong telah siap sepenuhnya dan akan mula diserahkan kepada pemilik bermula minggu hadapan.
Menurut kenyataan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), majlis penyerahan rumah mampu milik bertaraf kondominium berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi itu akan disempurnakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada 8 Ogos.
“Rumah Idaman Bukit Jelutong dilengkapi separa perabot seperti kabinet dapur, almari pakaian, peti sejuk, pemanas air, penyaman udara dan televisyen dengan setiap unit juga mempunyai dua parkir kenderaan.
“Kemudahan yang ditawarkan termasuk kolam renang, gimnasium, dewan serba guna, taman atas bumbung, tadika, ruang bacaan, trek joging, gelanggang badminton, serta sistem keselamatan tiga peringkat,” menurut kenyataan itu.
Rumah Idaman Bukit Jelutong merupakan projek Rumah Idaman pertama yang dibangunkan oleh Gagasan Nadi Cergas Berhad yang juga pemaju untuk Idaman Kwasa Damansara dan Idaman Amani di Bandar Elmina.
PNSB pula sebagai pelaksana inisiatif Rumah Idaman bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor dengan menerajui pembangunan rumah mampu milik berkualiti di seluruh negeri itu melalui anak syarikat, PNSB Construction Sdn Bhd (PCSB).
“PCSB seterusnya bekerjasama melalui konsortium dengan rakan-rakan pemaju terkemuka bagi membangunkan Rumah Idaman di seluruh Selangor. Setakat ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan sebanyak 23 projek merangkumi 39,733 unit untuk dibangunkan oleh Konsortium PCSB,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan lain, setakat Ogos tahun ini, sebanyak empat projek Rumah Idaman berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pembeli melibatkan 6,079 unit rumah, iaitu Idaman Abadi di daerah Hulu Langat, Idaman BSP (Kuala Langat), Idaman Melur (Sepang) termasuk Idaman Bukit Jelutong.
“Sementara itu, sebanyak 8,352 unit rumah sedang dalam pembinaan melibatkan sembilan projek di daerah Petaling, Sabak Bernam, Gombak dan Sepang.
“Sebanyak 25,302 unit lagi sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dan kelulusan Pelan Bangunan (BP) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” menurut kenyataan itu.
Pembangunan Rumah Idaman di seluruh Selangor ialah simbol komitmen agensi itu dan Kerajaan Negeri Selangor dalam menyediakan perumahan mampu milik berkualiti tinggi di lokasi strategik bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial