KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Mekanisme pengurusan projek pembangunan yang baharu dan lebih menyeluruh akan diperkenalkan bagi membolehkan perancangan serta pelaksanaan yang lebih strategik dan berkesan dilaksanakan.
Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, kumpulan perancang strategik dengan kemahiran khusus juga akan ditubuhkan di setiap kementerian dan modul perancangan strategik dibangunkan bagi meningkatkan kompetensi penjawat awam dalam pengurusan projek pembangunan.
“Model pelaksanaan projek secara turnkey serta reka dan bina akan juga ditambah baik dan diperluas dengan kawalan kos yang lebih ketat. Selain itu, projek infrastruktur yang bersifat pelbagai guna akan diberikan keutamaan dalam RMK13 bagi mengoptimumkan penggunaan sumber.
“Potensi untuk menjadikan sebahagian daripada ruang perumahan bertingkat berskala besar sebagai fasiliti awam, seperti sekolah dan klinik kesihatan akan diteroka bagi memastikan pembinaan perumahan dan penyediaan fasiliti dilaksanakan secara serentak dan bersepadu,” menurut dokumen itu.
Penggunaan bank tanah Persekutuan juga akan dimaksimumkan bagi pembangunan projek Persekutuan melalui penambahbaikan tatacara pengurusan tanah dan proses perolehan tanah akan dipusatkan di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian.
“Selain itu, pelaksanaan projek berkepentingan awam, seperti sekolah dan klinik kesihatan akan dibuka kepada pemaju hartanah swasta bagi mengurangkan isu tanah serahan pemaju yang masih terbiar dan belum dibangunkan,” menurut dokumen itu.
Pelaksanaan projek kerjasama awam swasta (PPP) juga akan terus diperkukuh berasaskan Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) dengan memberi tumpuan kepada model berasaskan bayaran oleh pengguna dalam penyediaan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan sebagai pilihan kepada rakyat.
“Kelulusan projek PPP baharu yang melibatkan komitmen kewangan kerajaan akan tertakluk kepada skop dan had peruntukan di bawah RMK13 selain tatakelola PPP akan dimantapkan, termasuk melalui pengenalan perundangan khusus berkait PPP,” menurut dokumen itu.
Reformasi tadbir urus dalam aspek perancangan dan pelaksanaan projek kerajaan akan menambah baik kecekapan pengurusan kewangan awam dan mengurangkan ketirisan, selaras dengan teras tatakelola baik di bawah Ekonomi MADANI.
Melalui langkah itu, rakyat akan mendapat manfaat daripada penyediaan lebih banyak infrastruktur dan kemudahan awam yang berkualiti.
“Penyediaan infrastruktur yang berkualiti dan perkhidmatan yang telus, tangkas dan tuntas juga akan menarik minat pelabur untuk memulakan perniagaan sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi,” menurut dokumen itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial