AM

RMK13: KUSKOP Teraju Penskalaan PMKS, Pemerkasaan Sektor Ketiga - Ewon

31/07/2025 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menerajui penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pemerkasaan sektor ketiga di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata kementerian itu komited untuk memperkukuh model perniagaan dan ekosistem PMKS, selain meningkatkan daya tahan dan keterlihatan sektor ketiga serta melipatgandakan penyertaan syarikat dalam perniagaan inklusif.

Beliau berkata penjayaan tonggak berkenaan akan dipandu oleh Dasar Keusahawanan Nasional, Dasar Francais Negara, Dasar Koperasi Malaysia, Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara, Pelan Strategik PMKS 2030 dan Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 yang akan ditambah baik serta dasar dan pelan strategik lain yang berkaitan.

“Penjayaan tonggak itu juga akan didukung oleh reformasi perkhidmatan awam termasuk perlaksanaan ILTIZAM, pemerkasaan GovTech, pemantapan tatakelola, reformasi pengurusan projek dan pengukuhan ekosistem ekonomi sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ewon berkata KUSKOP bertekad untuk memimpin pembangunan keusahawanan, koperasi dan ekonomi sosial negara dengan mengamalkan pendekatan keseluruhan kerajaan. 

Ewon berkata ia akan dilaksanakan melalui pelbagai platform seperti Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan, Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional serta pelbagai majlis perundingan yang melibatkan kerjasama antara kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkepentingan.

Beliau turut mengalu-alukan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam meningkatkan keseimbangan pembangunan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak serta pembangunan sosioekonomi Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak.

“Selagi saya diberi mandat memimpin KUSKOP, saya akan mendukung komitmen ini melalui fokus tambahan di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara - Perspektif KUSKOP,” katanya.

Ewon berkata agenda pemerkasaan Ekonomi Biru di Sabah ialah satu pengiktirafan kerajaan terhadap potensi negeri itu yang akan menyumbang kepada kerancakan aktiviti ekonomi di wilayah Timur.

Beliau yakin RMK13 akan membawa Malaysia ke era lebih progresif dan lebih baik dalam pelbagai aspek seperti dihasratkan semasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditandatangani untuk menubuhkan negara ini.

“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada Kerajaan MADANI yang telah berjaya memuktamadkan sembilan daripada 13 tuntutan Sabah dan Sarawak yang berkaitan dengan MA63 yang telah diselesaikan sepenuhnya setakat hari ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan