SHAH ALAM, 30 Julai (Bernama) -- Proses pembangunan Jajaran Rel Kita Selangor telah memasuki fasa meneroka strategi pembiayaan dan mencari rakan pelaburan yang sesuai, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata fasa itu antara lain bagi memastikan pelaksanaan rangkaian rel bersepadu tersebut dapat dijalankan secara mampan dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
“Pembangunan sistem rel ini bermatlamat untuk menghubungkan kawasan utama Selangor dengan jaringan rel moden yang lancar dan mesra pengguna, termasuk sambungan terus ke Selangor Aero Park di Sepang sebagai hab penerbangan dan logistik masa depan.
“Pembangunan projek ini juga mengurangkan kesesakan lalu lintas melalui pengangkutan awam dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan memudahkan mobiliti tenaga kerja dan pelaburan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Amirudin mempengerusikan mesyuarat bersama pasukan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan HSS Integrated Sdn Bhd selaku perunding yang dilantik, bagi membincangkan potensi kerjasama dalam Jajaran Rel Kita Selangor.
Jajaran Rel Kita Selangor ialah pelan jangka panjang yang bakal memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di Selangor.
Amirudin berkata kerajaan Selangor komited untuk memperkukuh ekosistem pengangkutan awam yang bukan sahaja bersepadu, tetapi juga mampu menjangkau kawasan pinggir bandar dan luar bandar agar rakyat mendapat manfaat yang seimbang.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas pandangan dan kepakaran yang dikongsi, ini langkah awal ke arah sistem rel yang lebih mampan untuk masa depan Selangor yang maju, makmur dan berdaya huni,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan Negeri 2024, Amirudin mengumumkan pembangunan Jajaran Rel Kita Selangor, yang akan dimulakan menerusi kajian kebolehlaksanaan dengan peruntukan RM3 juta.
Pembinaan Jajaran Rel Kita Selangor dijangka mengambil masa sehingga 10 tahun, yang akan dilaksana secara berperingkat melibatkan pelbagai fasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial