AM

Program Sekolah Angkat MADANI: SPR Salur RM100,000 Kepada SMKA Segamat

30/07/2025 08:00 PM

PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menyerahkan peruntukan berjumlah RM100,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, Johor menerusi inisiatif Program Sekolah Angkat MADANI 2025.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata program itu dilaksanakan susulan pelancaran peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun lepas. 

Beliau berkata program itu akan menjadi pemangkin dalam peningkatan penyampaian pendidikan yang berkualiti, inklusif dan progresif selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing, berpengetahuan dan berakhlak mulia.

"Melalui peruntukan yang disalurkan, warga sekolah bukan sahaja dapat menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih moden dan interaktif, malah berpeluang meningkatkan tahap pencapaian akademik serta sahsiah diri. 

"Pada masa sama, pelaksanaan program ini menzahirkan tanggungjawab sosial dan komitmen SPR untuk terus berganding bahu dengan pelbagai pihak dalam membangunkan ekosistem pendidikan negara yang mampan dan holistik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Shahril berkata pihak sekolah dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan telah membentangkan pelbagai keperluan dari segi infrastruktur fizikal, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pembangunan guru dan pelajar pada mesyuarat Mei lepas bersama SPR.

"Berdasarkan peruntukan disediakan, SPR telah meluluskan beberapa program utama meliputi empat komponen antaranya pembangunan kurikulum menerusi Program Akademik Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya.

Komponen lain Program Menuju STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) berjumlah RM31,000 dan pembangunan sahsiah dan kokurikulum merangkumi kem kepimpinan dan program penghayatan hadis dengan jumlah RM12,000.

Selain itu, pembangunan profesionalisme guru meliputi program latihan dalam perkhidmatan (LADAP Digital) berjumlah RM5,000 dan keperluan ICT iaitu pembekalan dua unit papan putih interaktif bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan 50 komputer tablet untuk kegunaan pelajar berjumlah RM52,000.     

Majlis penyerahan peruntukan diadakan di SMKA Segamat hari ini dengan dihadiri warga sekolah, pegawai SPR, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah Segamat.

Pada majlis itu, Khairul Shahril telah menyempurnakan simbolik penyerahan cek cura peruntukan kepada Pengetua SMKA Segamat Ustaz Mohd Salleh Mohd Noor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan