AM

MCMC Ambil Tindakan Atasi Masalah Liputan Di Kampung Sungai Relai

30/07/2025 07:24 PM

KOTA BHARU, 30 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah liputan komunikasi yang kurang memuaskan di Kampung Sungai Relai, di Gua Musang.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya baru-baru ini turun padang untuk mendengar sendiri keluhan penduduk kampung yang terkesan akibat ketiadaan liputan rangkaian yang baik.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah menara komunikasi setinggi 76 meter di kawasan itu, namun ia hanya dilengkapi peralatan gelombang mikro untuk menghubungkan dua menara lain dan tidak menyediakan liputan kepada pengguna sekitar.

"MCMC turut melaksanakan ujian kualiti perkhidmatan selular di kawasan terbabit dan keputusan ujian mengesahkan memang tiada liputan," menurut MCMC.

Bagi mengatasi masalah ini, MCMC telah mengeluarkan Notis Suruhanjaya di bawah Seksyen 51(2), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kepada semua penyedia perkhidmatan yang gagal memenuhi piawaian penyediaan liputan di kawasan berkenaan.

Selain itu, MCMC juga mengenal pasti tapak cadangan bagi pembinaan menara baharu melalui projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan memberikan liputan lebih menyeluruh kepada penduduk setempat.

“Perbincangan turut diadakan bersama penyedia perkhidmatan untuk mempertimbangkan menaik taraf menara sedia ada kepada liputan 4G menggunakan sambungan gentian optik yang lebih stabil,” menurut MCMC.

MCMC menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan pelaksanaan projek ini bagi memastikan penduduk Kampung Sungai Relai mendapat akses perkhidmatan komunikasi yang berkualiti.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan