KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Sebanyak 13 Ahli Parlimen daripada parti dalam Kerajaan MADANI dilantik sebagai Friends of Ministry Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sebagai langkah strategik memperkasakan hubungan antara kementerian dan Ahli Parlimen.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim dalam kenyataan berkata langkah itu juga bagi memastikan dasar serta inisiatif kementerian dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
“Ahli-ahli Parlimen yang dilantik itu akan menerima akses kepada bahan penyelidikan, taklimat dasar serta sesi libat urus berkala bagi memperkukuh peranan mereka semasa sesi pertanyaan lisan dan perbahasan di Dewan Rakyat, selain mempertingkatkan keterlibatan bersama masyarakat,” katanya.
Mereka terdiri Datuk Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar) yang juga Ketua Penyokong Kerajaan MADANI, Mordi Anak Bimol (Mas Gading), Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching), Chong Chieng Jen (Stampin), Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor) dan V. Sivakumar (Batu Gajah).
Turut dilantik Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), P. Prabakaran (Batu), Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol), Datuk Seri M. Saravanan (Tapah), Ahmad Johnie Zawawi (Igan), Wong Shu Qi (Kluang) dan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera).
Melalui kerjasama itu, Sim berkata Ahli Parlimen berkenaan memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memberi pandangan, menyumbang idea dan cadangan, memperjuangkan dasar, rang undang-undang dan usul berkaitan yang dikemukakan kementerian itu serta membantu membina naratif positif berhubung agenda reformasi pasaran buruh dan menyampaikan maklumat kepada rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial