AM

Pakej Aroya Cruise: ICI Meterai MOU Dengan 26 Ejen Yang Dilantik

30/07/2025 07:26 AM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- IslamiCruise International Sdn Bhd (ICI) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 26 Ejen Aroya Cruise Link (ACLA) sempena pelancaran rasmi Pakej AROYA Cruise selama tiga hari dua malam dari Pelabuhan Klang ke Langkawi.

Ejen terbabit akan bertindak sebagai penghubung bagi jualan rasmi AROYA Cruise dan menerima kabin untuk mempromosi serta menjual pelbagai pakej yang menyokong pelayaran halal sepenuhnya tanpa alkohol atau perjudian selain dikenali sebagai pelayaran tanpa kerisauan daripada perspektif syariah.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan, yang juga tetamu kehormat pada majlis itu, berkata usaha kolaborasi seperti ini membantu mengangkat kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.

"Acara hari ini menyaksikan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan negara bagi memperkukuh dan mempelbagaikan industri pelancongan.

"Pelancaran AROYA Cruise bukan hanya pengembangan produk pelancongan kita tetapi juga mencerminkan komitmen Malaysia dalam menawarkan pengalaman baharu dan unik kepada pelancong domestik serta antarabangsa selaras dengan persiapan kita menuju ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Turut hadir Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ICI Suhaimi Abd Ghafer, Pengarah Projek ICI Ab Rahman Mohd Ali dan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026 Amirul Rizal Abd Rahim.

Khairul Firdaus juga berkata usaha strategik ini meletakkan Malaysia sebagai destinasi mesra pelancong Muslim sambil mengekalkan nilai-nilai teras inklusiviti dan layanan yang baik kepada semua pengunjung.

Beliau berkata inisiatif seperti Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) yang diperkenal oleh kementeriannya telah menetapkan piawaian bagi memastikan keperluan berasaskan pegangan agama seperti makanan halal, kemudahan untuk menunaikan solat yang mudah diakses dan penginapan mesra Muslim dapat dipenuhi namun pada masa sama, meningkatkan pengalaman pelancongan secara menyeluruh untuk setiap tetamu tanpa mengira latar belakang.

"Dengan memperluas portfolio kami menerusi produk yang inovatif seperti pakej pelayaran ini, kami terus memperkaya landskap pelancongan Malaysia.

"Kesemua usaha ini menyokong strategi nasional kita di bawah Tahun Melawat Malaysia 2026 dan mencerminkan komitmen negara terhadap layanan yang mesra, kepelbagaian produk serta perkhidmatan yang unggul.

"Hanya dengan penawaran berterusan pelbagai pengalaman merangkumi budaya, alam semula jadi dan tarikan moden, Malaysia mampu kekal kompetitif dalam arena pelancongan antarabangsa ketika ini," katanya.

Pelayaran mesra Muslim itu, yang bakal berlepas dari Pelabuhan Klang pada 30 Jan 2026 dan kembali pada 1 Feb 2026, menawarkan peluang untuk pelancong menikmati suasana unik serta kemewahan pelayaran Islamik bersama AROYA, dalam format lebih ringkas dan mudah diakses.

MOU itu turut mengetengahkan peranan ACLA sebagai sebahagian daripada usaha IsamiCruise International untuk menjadikan pelayaran mewah lebih mudah diakses dengan menawarkan harga bermula daripada RM597.

Inisiatif ini menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya selain dijangka menarik pelancong tempatan serta antarabangsa untuk menjelajah Malaysia melalui pelayaran.

Pada majlis itu, empat petugas media memenangi cabutan bertuah berupa pakej pelayaran lengkap selama tiga hari dua malam AROYA Cruise dari Pelabuhan Klang ke Langkawi.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan