JOHOR BAHRU, 29 Julai (Bernama) -- Johor telah meluluskan 42 projek pembinaan pusat data setakat suku kedua tahun ini, sekali gus meletakkan negeri itu sebagai peneraju pelaburan digital negara dan destinasi strategik bagi ekonomi berasaskan teknologi tinggi di rantau ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor menerusi hantaran Facebook berkata pusat data itu bukan sekadar infrastruktur digital, sebaliknya pemacu utama pelaksanaan Zon Ekonomi Johor-Singapura (JSEZ), Pelan Digital Johor dan agenda transformasi ekonomi negeri.
Beliau berkata demikian susulan Mesyuarat Taskforce Pembangunan Pusat Data Negeri Johor Bil. 2/2025 yang dipengerusikan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han.
Mohd Jafni berkata mesyuarat berkenaan turut mempertimbangkan tujuh permohonan baharu bagi pembangunan pusat data di kawasan Greater Johor Bahru.
Taskforce itu katanya adalah pendekatan holistik kerajaan negeri yang diurus setia PLANMalaysia Johor dan disertai agensi teknikal utama seperti Invest Johor, pihak berkuasa tempatan, Pejabat Tanah dan Galian, Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Ranhill SAJ, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Johor Special Water (JSW).
Mohd Jafni berkata kerajaan negeri memberi keutamaan kepada penempatan pusat data di kawasan perindustrian terancang seperti Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Kulai, kawasan industri Sedenak dan zon industri Pasir Gudang.
Beliau berkata lokasi terbabit memiliki kelebihan strategik termasuk akses terus ke lebuh raya utama, grid elektrik berkapasiti tinggi, sumber air stabil serta kedudukan hampir dengan pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa.
Setakat ini, sebanyak 7,618 ekar tanah industri berstatus terancang disediakan untuk pembangunan pusat data termasuk kawasan di bawah Majlis Bandaraya Pasir Gudang seperti ASM Green, Rising Gateway, Iskandar Halal Hub, Kosmo dan Keck Seng, selain IBTEC di bawah Majlis Perbandaran Kulai.
“IBTEC yang dibangunkan oleh Johor Land Group (JLG) sahaja memperuntukkan 600 ekar tanah ( 242 hektar) khusus bagi pembangunan pusat data,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengehadkan kelulusan baharu pembinaan pusat data di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri bagi mengelak konflik guna tanah dengan kawasan kediaman.
“Proses kelulusan pusat data di Johor sangat telus dan berasaskan keperluan teknikal sebenar. Setiap permohonan perlu mematuhi kawalan bunyi, kawalan haba, reka bentuk seni bina, keupayaan tenaga serta aspek pengurusan risiko bencana dan alam sekitar.
“Dalam setiap pelaburan, keutamaan harus diberikan kepada rakyat Johor dan semua pelabur mesti bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan dengan gaji yang berpatutan dan latihan yang bersesuaian dengan kemahiran baharu,” katanya.
Beliau berkata Johor menjadi negeri pertama mula menggunakan teknologi pusat data bertaraf Tier 4 termasuk sistem penyejukan serta teknologi rawatan semula air kumbahan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd dengan kerjasama JSW.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial