AM

Kematian Komando Ketika Latihan Seaghost Mungkin Melibatkan Peralatan - PTD

29/07/2025 04:44 PM

LENGGONG, 29 Julai (Bernama) -- Siasatan awal insiden kematian seorang anggota Rejimen 22 Komando Grup Gerak Khas (GGK) mendapati terdapat kemungkinan isu melibatkan peralatan yang digunakan semasa latihan yang dijalani anggota terbabit.

Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata perkara itu sedang diteliti secara menyeluruh oleh lembaga siasatan yang ditubuhkan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM).

"Hasil dapatan awal menunjukkan peralatan yang digunakan telah agak lama yang boleh menjadi antara faktor penyumbang kejadian. Kita juga sedang menjalankan audit serta siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada ia berpunca daripada kegagalan peralatan atau kesilapan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Serangan Akhir dan Penutup Eksesais Keris Strike 2025 di Felda Lawin Selatan, dekat sini hari ini.

Koperal Mohd Haswansir Julnasir, 30, terkorban semasa menyertai Latihan Seaghost Siri 1/2025 di perairan Kuantan, Pahang pada 3 Julai lepas.

Allahyarham dilaporkan hilang kira-kira pukul 12.15 tengah hari ketika melaksanakan latihan selam menggunakan Closed Circuit Breathing Apparatus (CCBA) sebelum mayatnya dijumpai oleh pasukan penyelamat kira-kira 10 pagi, 5 Julai.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata pihak tentera sentiasa mematuhi prosedur penyelenggaraan mengikut jadual ditetapkan berdasarkan tempoh hayat peralatan serta senjata, termasuk CCBA yang digunakan dalam latihan.

“Setiap aset yang digunakan mempunyai dasar jangka hayat seperti 10 atau 20 tahun dan sepanjang tempoh itu, penyelenggaraan berjadual dilaksanakan.

"Kita sedang teliti sama ada penyelenggaraan ini dilaksanakan mengikut ketetapan atau sebaliknya, malah tempoh siasatan juga bergantung pada tahap kerumitan isu yang dibangkitkan," katanya.

Beliau tidak menafikan TDM berdepan cabaran dalam pengurusan aset sedia ada yang kebanyakannya ialah "aset legasi" seperti kenderaan dan sistem sokongan yang telah berusia.

Bagaimanapun, katanya TDM melaksanakan penyelenggaraan yang teliti bagi memastikan kesiapsiagaan kekal berada pada tahap optimum untuk melaksanakan tugas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan