AM

DBKL Keluar 41 Kompaun Terhadap Jurufoto Tidak Berlesen Sekitar KLCC

28/07/2025 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Sebanyak 41 kompaun dikeluarkan terhadap individu didapati menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen menerusi Operasi Bersepadu Lens (Ops Lens) yang dijalankan di kawasan tumpuan awam sekitar KLCC, malam tadi.

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), operasi berkenaan bertujuan memantau dan mengambil tindakan susulan terhadap kegiatan jurufoto tanpa kelulusan sah yang dijalan secara terbuka di tempat awam.

DBKL memaklumkan operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (DBKL), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

“Menerusi penglibatan agensi-agensi sahabat, semakan terhadap individu turut dibuat bagi mengenal pasti sebarang rekod jenayah, kesahihan dokumen pengenalan diri serta status kerakyatan. Menerusi semakan yang dibuat, tiada sebarang penahanan dilakukan pada operasi kali ini,” menurut kenyataan itu.

DBKL menegaskan bahawa ruang awam adalah milik bersama dan harus digunakan secara beretika, tertib dan mematuhi peraturan sedia ada.

“Aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah turut menimbulkan risiko keselamatan kepada pengunjung.

“Sebahagian daripada kegiatan ini dijalankan atas jalan raya atau laluan pejalan kaki, yang bukan sahaja membahayakan jurugambar dan pelanggan, tetapi juga mengganggu kelancaran pergerakan awam,” menurut DBKL.

DBKL juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sitaan terhadap peralatan dan barangan sekiranya aktiviti ini terus dijalankan secara berulang tanpa kebenaran.

“Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan bandar kekal selamat, teratur dan harmoni untuk semua,” menurut kenyataan itu.

DBKL turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang aduan atau maklum balas melalui pautan saluran rasmi DBKL yang tertera https://adukl.dbkl.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan