AM

Langkah Percepat Pengisian Lebih 4,000 Jawatan Dalam Sektor Kesihatan Disambut Baik

25/07/2025 01:09 AM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Langkah kerajaan mempercepat pengisian 4,352 jawatan di fasiliti kesihatan awam, termasuk bagi doktor kontrak, disambut baik oleh persatuan perubatan dan kumpulan masyarakat sivil namun mereka menegaskan bahawa pembaharuan jangka panjang masih diperlukan untuk menangani kekurangan sistematik selain mengekalkan bakat dalam sektor itu.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira menyifatkan ia sebagai ‘satu langkah yang amat diperlukan’ dalam memperkasakan sistem penjagaan kesihatan awam serta berharap pelantikan ke jawatan tetap diberi berdasarkan kekananan dan tempoh perkhidmatan. 

“Kami berharap jawatan-jawatan ini akan menjadi jawatan tetap bagi doktor kontrak. Sekiranya betul, jawatan tetap harus dilantik berdasarkan kekananan daripada segi tempoh perkhidmatan,” menurutnya dalam satu kenyataan. 

Beliau turut menggesa kerajaan agar memperluas jawatan tetap melangkaui kekosongan sedia ada dan secara berperingkat menghapuskan skim perkhidmatan kontrak untuk doktor.

"Menawarkan jawatan tetap kepada semua doktor baharu yang memasuki sistem penjagaan kesihatan awam seperti yang diamalkan sebelum ini selaras dengan sektor awam lain dilihat mampu memulihkan semangat dalam kalangan doktor muda dan mengekalkan bakat dalam bidang perubatan. 

“Langkah ini juga akan memberi jaminan pekerjaan dan laluan kerjaya yang lebih jelas kepada mereka,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pengumuman khas semalam, berkata keputusan mempercepat pengisian kekosongan jawatan dalam sektor awam dibuat sebagai respons kepada keperluan mendesak dalam sistem penjagaan kesihatan negara.

Bagi Presiden Persatuan Penjawat Awam India Putrajaya (IMAIYAM) Dr M. Sathiskumar, langkah itu penting bukan sahaja untuk memperkukuh perkhidmatan dalam sektor awam tetapi juga bagi membuka laluan kerjaya kepada golongan profesional muda perubatan. 

Sementara itu, gerakan Hartal Doktor Kontrak yang aktif memperjuangkan hak doktor lantikan kontrak turut menyambut baik pengumuman tersebut namun menegaskan bahawa ia tidak menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja kesihatan kerana hanya melibatkan pertukaran status daripada kontrak kepada tetap, bukannya penambahan tenaga kerja baharu.

Jurucakapnya, Dr Muhammad Yassin berkata reformasi jangka panjang perlu merangkumi aspek pendidikan, pengambilan pelajar perubatan, peluang biasiswa dan dasar penempatan kerja.

“Selagi isu gaji dan elaun tidak ditangani secara serius, trend penghijrahan doktor ke luar negara seperti Singapura tidak akan berhenti,” katanya. 

Dr Firdaus Mat Noh dari kumpulan sama turut menyuarakan penghargaan kerana pengisian jawatan itu turut melibatkan semula pegawai perubatan yang telah meletakkan jawatan dan berharap ia bukan usaha sekali lalu tetapi langkah berterusan untuk masa depan sektor kesihatan awam yang lebih stabil dan bermaruah.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan