AM

Anwar Gesa Perkukuh Kerjasama Kerajaan, Swasta Demi Manfaat Rakyat

24/07/2025 03:44 PM

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa supaya kolaborasi antara kerajaan dan sektor swasta diperkukuh demi memastikan rakyat di semua peringkat mendapat manfaat secara menyeluruh. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sektor swasta boleh memainkan peranan proaktif dengan mengemukakan cadangan atau idea bagi membantu kerajaan khususnya dalam projek sekolah angkat dan sebagainya.

“Saya telah beritahu kepada menteri dengan kementerian masing-masing (untuk) bekerjasama, jangan beri jawapan secara berpihak. 

“Pastikan sektor swasta menyuara pendapat dan cadangan mereka. Dengan cara itu, penyesuaian dapat dilakukan,” katanya ketika berucap melancarakan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar mencadangkan pemimpin syarikat besar untuk turun padang meninjau keadaan sekolah angkat di bawah kendalian masing-masing atau di kawasan luar bandar.

“Saya cadangkan kehadiran Presiden atau CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) sendiri dalam program sebegini dapat memberi keyakinan dan harapan besar kepada anak muda, lebih-lebih lagi kepada mereka yang datang daripada latar belakang kurang berkemampuan.

“Ia mampu menjadi sumber inspirasi dan harapan buat pelajar ini,” katanya.

Sementara itu,  Anwar merakamkan penghargaan kepada syarikat korporat yang telah menyumbang dalam program bantuan, termasuk isu Gaza, sekolah angkat dan kemiskinan.

Beliau menyeru agar semua pihak menghindari isu perkauman dan permusuhan politik serta bersatu membina negara.

Perdana Menteri berkata antara kejayaan dasar kerajaan ialah projek pembaikan tandas sekolah meskipun dikritik pembangkang kerana menelan RM1 bilion namun ia untuk baik pulih lebih 1,200 tandas demi keselesaan murid.

“Walaupun dipermainkan oleh pembangkang...hampir RM1 bilion baik pulih 1,200 tandas. Bayangkan sekolah anak cucu kita tandas tak terurus,” katanya menambah, program sekolah angkat kini berkembang kepada 1,000 buah sekolah meliputi Sekolah Kebangsaan Cina dan Tamil.

Program Sekolah Angkat MADANI yang dicetuskan Anwar untuk menangani jurang pendidikan dengan  sektor korporat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara, khususnya dalam bidang pendidikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan