KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Para pemimpin industri perfileman dari Indonesia, Malaysia dan Kemboja telah menggesa agar satu memorandum persefahaman (MoU) pelbagai hala dimeterai dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi memperkukuh produksi bersama, memperluas pengedaran kandungan selain memudahkan pergerakan kru filem serantau.
Sekretaris Umum Badan Perfilman Indonesia Judith J. Dipodiputro berkata ASEAN memiliki potensi besar bagi kerjasama serantau susulan populasinya yang muda, kedekatan budaya dan halangan perdagangan yang rendah di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN.
“Ini bukan satu cabaran sebaliknya peluang yang sangat besar. Kita turut berkongsi bahasa budaya yang sama serta saling memahami ekspresi dan nilai masing-masing,” katanya semasa forum Beyond Borders: Funding Pathways and Development Strategies by ASEAN Film Agencies pada Sidang Kemuncak Filem dan TV ASEAN 2025 yang diadakan sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-8 di sini hari ini.
Beliau juga berkata populasi ASEAN yang berjumlah 680 juta, termasuk 40 juta belia berusia lingkungan 15 hingga 17 tahun dan 176 juta kanak-kanak di bawah umur 14 tahun, mewakili khalayak yang semakin berkembang bagi pengkisahan serantau berakarkan budaya sambil merujuk kepada kejayaan Upin & Ipin serta filem seram ASEAN.
“Sudah tiba masanya untuk kita berbicara dengan negara-negara jiran dan seterusnya kepada dunia,” katanya sambil menggesa ASEAN agar terus berani melangkah melangkaui sempadan pasaran kebangsaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib turut menyambut baik cadangan mewujudkan MoU atau perjanjian rasmi di peringkat ASEAN bagi menggalakkan penyiar memberi keutamaan kepada kandungan yang diterbitkan oleh negara anggota blok serantau itu.
Beliau turut mencadangkan agar proses visa dipermudah bagi melancarkan penggambaran rentas sempadan dan pergerakan kru produksi.
Timbalan Pengarah Jabatan Perfileman dan Penyebaran Budaya di Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus Kemboja Huoy Socheat berkata MoU itu akan membantu mengatasi kekangan pengedaran kandungan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Beliau berkata Kemboja kini giat mempromosikan pelancongan filem dengan menawarkan insentif penggambaran, bantuan logistik dan kemudahan visa jangka pendek bagi menarik produksi antarabangsa.
Anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama MIFFest dan Asian Film Alliance Network (AFAN), sidang kemuncak itu menyediakan platform bagi pembuat dasar, pencipta kandungan dan pelabur untuk meneroka peluang penjajaran dasar dan produksi bersama.
Sidang kemuncak itu akan melabuhkan tirai pada 26 Julai ini dengan Anugerah Global Emas Malaysia (MGGA) bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam pembikinan filem ASEAN dan antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial