KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Penyaluran bantuan RM100 secara sekali beri menerusi MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), merupakan pendekatan bersasar yang memastikan bantuan disampaikan secara langsung kepada rakyat, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata mekanisme itu membolehkan setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas menggunakan bantuan bagi membeli barangan asas dan mengelakkan perbelanjaan tidak berfaedah.
“Saya rasa SARA memang ada kebaikannya, kerana boleh diguna pakai untuk membeli barangan keperluan asas supaya ia tidak boleh diguna untuk membeli rokok, arak dan sebagainya.
“Jadi apabila bantuan ini disalurkan melalui MyKad, saya rasa ia boleh dimanfaatkan seluruh warga Malaysia yang mencapai umur 18 tahun,” katanya ketika dihubungi Bernama Radio hari ini.
Teo mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai inisiatif berkenaan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, yang turut melibatkan peruntukan RM2 bilion dan bakal memberi manfaat kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia.
Teo berkata peningkatan peruntukan program Jualan Rahmah MADANI kepada RM600 juta tahun ini berbanding RM300 juta sebelum ini, membolehkan lebih ramai rakyat khususnya golongan B40 memperoleh barangan asas pada harga rendah.
“Harga barang memang sangat murah, sebagai contoh saya baru pergi Jualan Rahmah di kawasan saya hujung minggu lepas dan mi segera hanya dijual pada RM3.70, sedangkan di pasar raya sekarang harganya sekurang-kurangnya RM4 ke atas, kadang-kadang sampai RM5.
“Pada Jualan Rahmah kita nampak harga telur, mi segera dan banyak barang keperluan asas dijual pada harga sangat rendah. Jadi saya percaya penggandaan program ini boleh membawa kebaikan kepada lebih banyak penduduk di kawasan B40,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pengumuman kerajaan berhubung penetapan harga RON95 pada RM1.99 seliter yang dijangka dilaksanakan melalui mekanisme penyasaran subsidi bahan api.
“Harga minyak yang akan ditetapkan pada harga RM1.99, ini juga merupakan satu berita yang bagus untuk semua warga Malaysia kerana ia akan membezakan harga minyak yang dinikmati oleh warga Malaysia dan warga asing.
“Jadi warga asing tidak sepatutnya menikmati minyak yang disubsidikan kerajaan kita. Semua rakyat Malaysia akan menikmati kebaikan melalui pengumuman yang disampaikan Perdana Menteri,” katanya.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat, termasuk pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program SARA, penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan subsidi harga RON95 yang lebih rendah pada RM1.99 seliter.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial