KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini jelas membuktikan kepekaan Kerajaan MADANI terhadap denyut nadi rakyat, serta komitmen untuk meringankan beban melalui pelbagai bentuk bantuan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pendekatan yang diumumkan itu juga akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, memberikan kelegaan kepada rakyat, selain mengukuhkan daya tahan fiskal negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
“Pada masa sama, Kerajaan MADANI akan terus berusaha mengimbangi keperluan meningkatkan kedudukan kewangan negara dengan tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan rakyat.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman langkah-langkah Kerajaan MADANI yang memberikan kelegaan kepada rakyat, serta memacu kestabilan ekonomi negara,” katanya menerusi hantaran dimuat naik ke media sosial.
Fahmi berkata langkah yang diambil dan diumumkan itu, hasil pertimbangan teliti dan berlandaskan prinsip keadilan sosial serta kemampanan ekonomi.
Beliau berkata kerajaan akan terus memperkukuh agenda pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan Malaysia MADANI yang sedang digarap demi manfaat rakyat.
Sementara itu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyemarakkan semangat cintakan tanah air.
“Inilah masanya untuk kita bersatu hati dan jiwa, menghargai nikmat kemerdekaan dan bersama-sama menyumbang kepada kemakmuran negara,” katanya.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan beberapa inisiatif penting sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada seluruh rakyat, antaranya pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan harga subsidi RON95 lebih rendah pada harga RM1.99 seliter.
Anwar juga berkata beberapa lagi langkah dan ikhtiar baharu akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentang Oktober ini.
Pengumuman penghargaan oleh Perdana Menteri untuk rakyat Malaysia itu disiarkan secara langsung pagi ini menerusi semua saluran televisyen utama serta platform media sosial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial