KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata perkara itu antara pindaan dalam RUU menerusi pewujudan Subseksyen 77(B)(1), yang memberi kuasa kepada mahkamah sebagai tambahan kepada hukuman denda bagi kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam untuk melaksanakan perintah khidmat masyarakat.
“Saya perhatikan semua ahli Yang Berhormat minta kerajaan mengambil tindakan yang tegas dalam melaksanakan pindaan undang-undang ini.
“Maka saya nak minta kerjasama semua apabila KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) mengambil tindakan tegas terhadap ulat sampah, jangan ada Ahli Yang Berhormat pula menjadi jaguh untuk mempertahankan mereka yang membuang sampah merata tempat.
“Bila mahkamah menjatuhkan hukuman maka biarlah kita tegakkan keadilan sosial supaya tidak dipolitikkan atau dijadikan isu polemik,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 14 Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, Nga berkata di bawah pindaan RUU itu juga mahkamah perlu mempertimbangkan keadaan fizikal dan mental individu yang disabitkan kesalahan terlebih dahulu, sebelum menjatuhkan sebarang tempoh perintah khidmat masyarakat.
“Di bawah RUU ini, kerajaan tidak tetapkan tempoh minimum yang diperuntukkan (kerana) kita hormat doktrin pengasingan kuasa (tetapi) mahkamah mempunyai bidang kuasa dan budi bicara dalam menetapkan tempoh pelaksanaan khidmat masyarakat setelah mempertimbangkan faktor fizikal dan juga mental.
“Seperti yang dibangkitkan oleh (Ahli Parlimen) Rasah (Cha Kee Chin), (kes melibatkan) kanak-kanak autistik juga mahkamah mempunyai budi bicara, kita akan menilai keadaan kesihatan mental mereka, sama ada sesuai ataupun tidak, kita pulangkan kepada budi bicara mahkamah untuk menghalusi isu tersebut,” katanya.
Beliau berkata beberapa strategi telah disusun bagi memperkasakan keupayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melaksanakan penguatkuasaan akta termasuk untuk menambah bilangan pegawai penguat kuasa, melatih pegawai sedia ada dan baharu serta mempertimbangkan penggunaan teknologi moden.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua, Nga berkata hasrat utama kerajaan meminda Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] antaranya adalah untuk mendidik pesalah supaya lebih prihatin terhadap kebersihan persekitaran yang memberi manfaat kepada komuniti.
Beliau berkata ia juga bertujuan memberi keinsafan dan kesedaran kepada pesalah dengan menghendaki mereka memakai jaket khas serta menjalani hukuman mengikut tempoh jam agregat ditetapkan.
Menurut Nga, RUU itu juga bertujuan mencegah pesalah daripada mengulangi kesalahan, mematuhi undang-undang serta mengurangkan pencemaran alam sekitar dan risiko penyakit bawaan vektor.
“Berdasarkan rekod jumlah sampah kecil dikutip, jelas menunjukkan bahawa pengenaan denda oleh PBT tidak lagi menjadi halangan (deterrent) kepada pesalah untuk tidak mengulangi tabiat buruk tersebut.
“Justeru, hukuman berbentuk perintah khidmat masyarakat wajar dikenakan kepada pesalah yang disabitkan dengan kesalahan membuang sampah kecil,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial