MELAKA, 20 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selaku peneraju tonggak Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) akan menganjurkan Bengkel Antarabangsa Deklarasi Melaka mengenai Penciptaan Nilai Warisan Budaya, di sini pada 23 dan 24 Julai ini.
Unit Komunikasi Korporat MOTAC memaklumkan bengkel dua hari berkenaan dianjurkan bersama Sekretariat ASEAN serta rakan strategik, Think City dan Telekom Malaysia Berhad.
“Bengkel ini adalah satu usaha dalam memanfaatkan kekayaan warisan budaya Asia Tenggara yang belum diterokai sepenuhnya sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi mampan, kesepaduan sosial dan inovasi kreatif.
“Bengkel itu akan menghimpunkan 100 peserta termasuk pakar budaya, ahli akademik, peneraju dalam ekonomi kreatif, wakil daripada negara anggota ASEAN, SOMCA (Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Bertanggungjawab kepada Kebudayaan dan Kesenian) serta pihak berkepentingan bagi membincangkan pendekatan transformatif dalam pemuliharaan warisan dan penciptaan nilai,” menurut Unit Komunikasi Korporat MOTAC dalam kenyataan.
Selain itu, ia juga akan menampilkan perbincangan panel, dialog berkumpulan dan sesi pleno, yang akan menumpukan kepada menghadapi cabaran mendesak serta menerola peluang dalam pembangunan warisan dalam kalangan negara blok serantau itu.
Menurut kenyataan itu, bengkel juga membincangkan cara untuk mengoptimumkan potensi sosioekonomi warisan budaya ASEAN dengan meningkatkan rantaian nilai warisan berkenaan untuk pertumbuhan ekonomi, memperkukuh kerjasama serantau menerusi rangka kerja menyeluruh ASEAN dan kerjasama antara tonggak.
Ia juga menggalakkan kesedaran awam dan penglibatan komuniti dalam usaha memelihara warisan, menggabungkan aspek budaya dan warisan ke dalam dasar pembangunan mampan bagi memastikan pertumbuhan terangkum dan kesepaduan sosial.
“Deklarasi Melaka sebagai hasil utama bengkel berkenaan, akan menyumbang kepada pembentukan dokumen hasil penting ASCC yang disasar untuk diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini di Kuala Lumpur.
“Ia bermatlamat mengukuhkan kerjasama dalam budaya, memperluas peluang ekonomi secara terangkum dan menggalakkan pemahaman lebih mendalam terhadap warisan bersama ASEAN,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial