AM

Pembentangan RMK13 Jadi Fokus Utama Sidang Dewan Rakyat Akan Datang - Johari

18/07/2025 07:15 PM

SUNGAI PETANI, 18 Julai (Bernama) -- Sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung bermula Isnin ini hingga 28 Ogos depan dijangka berlarutan hingga malam dengan fokus utama mengenai pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata pihaknya turut menerima pelbagai usul daripada Ahli Parlimen dan menjangkakan perjalanan Dewan Rakyat kali ini akan sibuk dengan pelbagai urusan.

“Sebab itu saya minta supaya rakyat di bawah apabila kita kemukakan RMK13 mesti memberikan maklumat kepada wakil rakyat mereka…apa lagi yang mereka mahu wakil rakyat mereka patut cakap (di Parlimen).

“Rakyat di bawah, sementara dia dengar ucapan di Parlimen itu dia mesti ‘tag’ terus kepada Ahli Parlimen mereka supaya suara mereka didengari…jangan lepas Ahli Parlimen balik ke kawasan baru nak mengadu…masa dia bercakap (di Parlimen) terus ‘tag’.

“Sebab kita (Dewan Rakyat) berikan masa yang cukup panjang dan Parlimen kali ini akan sampai malam, mula pada 10 pagi dan saya mungkin saya akan akan buka sampai sampai 10 atau 11 malam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Pekan Baru di sini hari ini.

Johari berkata selaras dengan peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, pembentangan RMK13 juga dilihat sangat penting dalam menonjolkan kemampuan dan kedudukan negara yang berada dalam keadaan baik di sebalik situasi tidak menentu di peringkat global.

Sementara itu, beliau menggesa masyarakat untuk memanfaatkan segala bentuk perkhidmatan yang disediakan di NADI bagi menjana pendapatan dan mengubah nasib mereka.

Beliau berkata NADI bukan hanya berperanan menawarkan akses kepada kemudahan digital dan pelbagai program komuniti tetapi mampu menjadi pusat sehenti untuk mendapatkan peluang perniagaan.

“Ia mampu menjadi tempat ‘one-stop centre’ untuk segala-galanyalah, membantu memberikan maklumat kepada rakyat tempatan dan memberikan ilmu yang diperlukan dalam semua bidang.

“Ia bukan sahaja dari segi akademi tetapi juga bidang yang lain. Jadi seperti yang saya sebutkan tadi bahawa anak-anak muda khususnya harus mengambil kesempatan dengan kewujudan pejabat NADI untuk menimba ilmu dan berkomunikasi dengan komuniti yang lain,” katanya.

NADI Taman Pekan Baru yang mula beroperasi 9 Feb lepas merupakan satu daripada empat pusat baharu yang ditubuhkan di Kedah di bawah inisiatif 1 DUN 1 NADI, menjadikan jumlah keseluruhan di negeri ini 81 buah.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan