AM

16 Tahun Tragedi Teoh Beng Hock, SPRM Ambil Langkah Penambahbaikan - Azam

16/07/2025 04:51 PM

PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil pelbagai langkah penambahbaikan untuk memastikan kebajikan individu yang tampil membantu siasatan sentiasa terpelihara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan hari ini berkata dengan mengambil iktibar tragedi kematian Teoh Beng Hock pada 16 tahun lepas, SPRM komited untuk memperbaiki kelemahan lalu dan berusaha membina semula kepercayaan rakyat.

“Walaupun siasatan terkini tidak menemukan bukti mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang, SPRM tetap memandang serius bahawa mendiang Teoh ditemukan meninggal dunia di premis SPRM Selangor pada 16 Julai 2009.

“Ia satu insiden hitam yang telah memberi kesan besar bukan sahaja kepada waris mendiang, tetapi juga seluruh warga SPRM dan negara. Atas dasar keprihatinan, saya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM, ingin menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh tersebut,” kata Azam.

Antara langkah penambahbaikan yang dilaksanakan adalah mewujudkan bilik rakaman bervideo (VIR) untuk merekod pernyataan saksi, orang kena tangkap dan atau suspek, mewujudkan bilik temu bual saksi di aras bawah bagi memastikan akses lebih mudah dan pemantauan yang lebih telus.

Azam berkata bilangan kamera litar tertutup (CCTV) juga telah ditambah dengan ciri berteknologi tinggi dan ditempatkan di lokasi strategik bagi mengawas dan merekod pergerakan serta perlakuan setiap individu yang memasuki premis SPRM.

“Kompleks Bangunan SPRM dilengkapi pemasangan jeriji besi selaras dengan garis panduan pihak berkuasa dan kamera badan (BWC) turut digunakan dalam setiap operasi siasatan bagi merakam aktiviti operasi dan memastikan integriti pegawai siasatan terjaga.

“Turut digunakan, teknik soal siasat model PEACE (Planning, Engage, Account, Closure, Evaluation) yang dipraktikkan di United Kingdom. Teknik yang menekan aspek keberhasilan dan keselamatan telah diperkenal dan diadaptasi sebagai MACC PEACE,” katanya.

Azam berkata SPRM turut mengiktiraf keputusan daripada pelbagai siasatan yang telah dijalankan berhubung kes kematian Teoh sepanjang 16 tahun lepas, termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011, keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 serta siasatan terkini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara.

SPRM juga, katanya mengambil maklum bahawa pada 12 Mei 2015 kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM600,000 kepada keluarga mendiang serta tambahan RM60,000 bagi menampung kos guaman sebagai penyelesaian penuh dan muktamad di bawah Seksyen 7 & 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

“Namun demikian, sebagai tanda keprihatinan, SPRM bersedia memberi sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang dalam jumlah yang akan ditentukan kelak bagi tujuan kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang,” katanya.

Teoh, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemukan maut pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14 premis berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan