AM

Isu Rasuah: MITI Diminta Terus Laksana Libat Urus Dengan Prospek Perniagaan, Pelaburan

15/07/2025 09:29 PM

PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) diminta terus melaksanakan libat urus bersama komuniti perniagaan dan pelabur bagi mendapat maklum balas isu rasuah yang boleh menjejaskan prospek perniagaan serta pelaburan di Malaysia.

Strategi pembaharuan yang perlu diberi keutamaan itu diputuskan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di sini hari ini.

Pasukan Petugas Khas CPI memaklumkan dalam kenyataan sesi libat itu juga perlu dilaksanakan bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH).

Menurut kenyataan itu, beberapa strategi pembaharuan lain yang dikenal pasti untuk diberi keutamaan oleh Kumpulan Fokus (FG) CPI termasuk pembudayaan integriti dan adaptasi teknologi dalam usaha membanteras rasuah dengan menjadikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai model peranan kepada PBT yang lain.

“Diharapkan pelaksanaan inisiatif strategik oleh Pasukan Petugas Khas CPI ini akan memberi impak positif kepada prestasi Malaysia dalam CPI akan datang, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap sistem pentadbiran negara,” menurut kenyataan itu.

Pasukan Petugas Khas itu turut memaklumkan prestasi Malaysia dalam laporan IMD World Competitiveness Ranking 2025 menunjukkan peningkatan 11 anak tangga iaitu dari kedudukan ke-34 pada 2024 ke kedudukan ke-23 tahun ini. 

“Indikator Sogokan dan Rasuah yang meningkat sebanyak 12 anak tangga turut menyumbang kepada peningkatan prestasi Malaysia dalam IMD,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan