KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Bandar purba Khiva di Uzbekistan bakal diserikan dengan warna-warni budaya, muzik dan aroma manis tembikai ketika penganjuran Festival Tembikai Tradisional "Qovun Sayli" dari 8 hingga 10 Ogos ini.
Menurut Kedutaan Uzbekistan di Malaysia, festival itu akan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan dan pameran hasil pertanian tempatan.
Antara acara kemuncak ialah konsert gala oleh artis tempatan dan antarabangsa yang akan berlangsung di kompleks pelancongan bersejarah Ichan-Kala pada 8 dan 9 Ogos, serta di Arda Khiva pada 10 Ogos.
“Bandar dan daerah dalam wilayah berkenaan akan mempersembahkan pameran jualan yang memaparkan tembikai manis yang ditanam di kawasan masing-masing,” menurut kenyataan kedutaan itu.
Acara ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Pelancongan Uzbekistan dan majlis tempatan Khorezm “hokimiyat", dengan astaka yang dihias meriah mencerminkan identiti setiap wilayah.
Pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan teater, pertunjukan boneka, peragaan pakaian tradisional, serta pameran makanan warisan termasuk roti Khorezm dan barangan kraf tangan.
Program itu juga menampilkan persembahan muzik rakyat secara langsung, bengkel interaktif dan pameran seni visual serta seni gunaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial