TASEK GELUGOR, 13 Julai (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) memperherbat langkah membendung penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) yang melanda tiga ladang babi di Kampung Selamat, di sini.
Pengarahnya Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata ASF pertama kali dilaporkan pada 7 Julai lepas oleh orang awam yang mendapati babi di ladang di Kampung Selamat itu menunjukkan tanda klinikal yang konsisten dengan penyakit tersebut.
Beliau berkata seterusnya ternakan itu dibawa ke pusat penyembelihan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan pihaknya mengambil tindakan segera dengan terus menjalankan pemeriksaan serta pengumpulan sampel di ladang kawasan berkenaan.
"Hingga hari ini 188 ekor babi dimusnahkan dan 45 bangkai (babi) dilupuskan di ladang pertama manakala 70 ekor babi mati di ladang ke dua akibat komplikasi berkaitan ASF.
"Kami masih belum masuk ke ladang ke tiga yang turut dijangkiti dan saya difahamkan terdapat banyak babi di situ yang dilaporkan sakit," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dr Saira Banu berkata semua bangkai babi dari ladang yang dijangkiti ASF telah ditanam dan usaha pelupusan itu selesai di ladang satu dan dua.
Beliau berkata sehingga hari ini, bilangan ladang yang disahkan positif ASF kekal tiga dan tiada babi di ladang baharu yang dikesan dijangkiti penyakit tersebut.
"Kami menggesa penternak babi untuk terus berwaspada dan meneruskan sekatan serta larangan pemindahan babi dari ladang yang positif, mengikut rumah sembelih ditetapkan.
"Pihak JPVPP juga meningkatkan pemantauan dan kawalan biosekuriti di kawasan ladang sekitar serta pensampelan tambahan sedang diteruskan bagi ladang yang berisiko," katanya.
Semalam media melaporkan tiga ladang ternakan babi di Kampung Selamat di sini disahkan positif penyakit ASF berdasarkan keputusan ujian makmal oleh Makmal Veterinar Zon Utara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial